Pengasas Valet Doa tunjuk gambar bukti doa di depan Kaabah.

Pengasas Valet Doa yang pernah mencetuskan kontroversi di media sosial kerana didakwa ‘menjual agama’ kini berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadat umrah selain meneruskan hasratnya untuk membantu umat sesama Islam.

Mohd Nasrin Harin, 40, berkata, seperti jemaah lain, beliau banyak menghabiskan masa untuk berdoa, beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah.

Sepanjang dua minggu, beliau sering mendoakan ‘yang baik-baik’ untuk dirinya, selain cuba menyampaikan doa yang dikirim individu lain, tanpa menetapkan syarat atau bayaran.

“Di sini saya doakan yang baik-baik saja, untuk kesihatan, keberkatan rezeki, ketetapan iman dan diberikan taufik dan hidayah.

“Kiriman doa orang lain pun ada, biasanya kan begitu…dikirim oleh orang lain kepada orang yang nak ke Makkah, tapi saya tak letakkan harga, terpulang kalau ada yang nak sedekah,” katanya ketika dihubungi mStar Online dari Madinah, Selasa.

Menurut Mohd Nasrin, pemergiannya ke Makkah dan Madinah kali ini atas kapasiti peribadi dan tiada kaitan dengan khidmat kiriman ‘doa berbayar’, Valet Doa yang diperkenalkan Februari lalu hingga mendapat kritikan ramai, termasuk mufti.

Jelasnya, walaupun bukan terbang ke Tanah Suci secara khusus untuk membacakan doa-doa yang dikirimkan kepadanya, beliau tetap cuba menyampaikan hajat si pengirim jika berkesempatan.

“Kebanyakan yang kirim doa itu adalah ahli keluarga, kawan-kawan dan pengikut saya di Facebook, ada yang saya kenal dan tak kenal.

“Saya bacakan doa mereka di lokasi umum, bukan di tempat yang ditetapkan pengirim dan pada bila-bila masa yang saya ada peluang. Ia amalan biasa yang turut dibuat jemaah lain,” katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini kebanyakan doa yang dikirim kepadanya diizinkan Allah dan ia dibacakan di depan Kaabah.

Menurut bekas kontraktor ini, beliau bersyukur kerana urusan untuk mengerjakan umrah kali ini berjalan lancar dan dipermudahkan walaupun terpalit dengan kontroversi berkaitan Valet Doa.

Beliau yang mengikut rombongan jemaah seramai lebih kurang 180 orang ini bagaimanapun hanya pergi bersendirian tanpa membawa isteri atau ahli keluarga lain.

Mohd Nasrin berkata, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyiasatnya berhubung tawaran perkhidmatan Valet Doa itu juga maklum mengenai pemergiannya ke Tanah Suci.

Perkhidmatan Valet Doa mula tular di laman sosial pada Februari dan ramai netizen mengecam dan kesal dengan perkhidmatan itu yang didakwa berbentuk perniagaan, kononnya ditawarkan kepada mereka yang tidak mampu ke Tanah Suci.

Awal Mac, Mohd Nasrin telah hadir memberi penjelasan kepada pihak berkuasa agama bagi membantu siasatan ke atas perkhidmatan membacakan doa orang ramai di Makkah yang diperkenalkannya itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *