Penyeludup rokok akan dikenakan denda tinggi dan dipenjara

KUALA LUMPUR: Individu yang menjual rokok seludup akan dikenakan denda yang tinggi dan dipenjara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata tindakan lebih tegas itu akan dilaksanakan menerusi akta baharu yang akan digubal.

Ketika ini, katanya, mereka yang menjual rokok seludup hanya dikenakan tindakan atas kesalahan memiliki rokok haram dan bukan atas perbuatan menjualnya.

“Akta baharu ini akan diperkenalkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada sesi Parlimen akan datang.

“Kalau kita dapat kesan, jual rokok haram walaupun satu kotak, kita akan denda dan mungkin kenakan hukuman penjara supaya tiada yang jual rokok haram kerana kesannya memudaratkan kesihatan.

“Rokok seludup dijual dengan harga lebih murah berbanding rokok sedia ada, iaitu sekitar RM3 hingga RM5 hingga budak sekolah pun boleh beli.

“Sebelum ini, kita tingkatkan duti eksais rokok hingga harga meningkat kepada RM17, antaranya supaya budak sekolah tak lagi boleh beli sebab tiada duit,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian pada majlis penutup Program Komuniti Sihat Tanpa Asap Rokok, di sini, hari ini.

Ketika ini, peniaga yang didapati bersalah menjual rokok seludup didakwa di mahkamah atas kesalahan memiliki mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, yang membawa hukuman denda maksimum 20 kali nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada Mac tahun lalu, media melaporkan kerajaan kehilangan hasil cukai sebanyak RM4 bilion pada tahun 2015 susulan kemasukan rokok seludup ke negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *