Peragut Kecundang Ditangan Anggota URB

JOHOR BAHRU – Dua lelaki kempunan untuk berjoli hasil curi apabila mereka diberkas sepasukan anggota dari unit rondaan bermotosikal (URB) ketika meragut seorang wanita di Taman Sentosa, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 11.20 pagi itu, kedua-dua suspek berusia antara 20 hingga 23 tahun itu cuba melarikan diri daripada polis namun gagal.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, jenayah berkenaan disedari anggota URB yang sedang meronda di kawasan berhampiran.

Menurutnya, mereka ternampak seorang lelaki sedang meragut seorang wanita di hadapan deretan kedai di kawasan itu.

“Suspek pertama kemudian lari menuju ke arah rakannya yang sedang menunggu dengan motosikal di tepi jalan.

“Anggota URB mengejar suspek kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian dan berjaya memberkas kedua-dua lelak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Sulaiman berkata, ketika melarikan diri, suspek pertama jatuh ke dalam longkang sehingga menyebabkan dia cedera pada kaki dan tangan.

Katanya, polis turut berjaya mendapatkan kembali beg tangan milik mangsa dengan kandungan yang bertaburan di atas jalan.

Kedua-dua penjenayah terbabit ditahan untuk membantu siasatan bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *