Peserta Misi Rentasi Kutub Utara KE7B cerita pengalaman diganggu Beruang Kutub.

Longyearbyen (Norway): Tiga penjelajah Malaysia dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) kini dilaporkan telah berjaya menyelesaikan separuh perjalanan mereka didalam Misi cabaran merentasi Kutub Utara.

Muhammad Muqharabbin Mokhtarruddin, 37, Shahrom Abdullah, 37, dan Mohd Irwan Yusof Abdullah, 35, menggalas harapan jutaan rakyat Malaysia bagi mencatatkan sejarah unik bagi negara.

Pada hari ke-5 ekspedisi, tiga anak muda berjiwa besar berkenaan dilaporkan telah berjaya menyelesaikan jarak perjalanan sejauh 55 kilometer yang bermula dari degree 89.0 ke 89.51 dan berbaki lagi 0.49 degree menuju 90 degree kutub utara.

Berkongsi pengalaman menerusi perbualan bersama Penasihat KE7B yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof, Muhammad Muqharabbin Mokhtarruddin atau lebih mesra di panggil Qobin bercerita mengenai gangguan dari Beruang Kutub.

“Penjelajahan kami pada hari ketiga diganggu oleh seekor beruang kutub yang menghampiri khemah salah satu kumpulan lain dan kami terpaksa berjaga setiap masa.” kongsi beliau.

Selain itu, Qobin juga menceritakan detik cemas berkenaan halangan-halangan yang mereka tempuhi selain daripada gangguan beruang kutub semasa misi berkenaan semalam.

“Antara cabaran lain yang kami tempuhi ialah terlalu banyak bongkah2 ais yang pecah dan kami terpaksa berulang kali mengangkat sledge dan berdepan dugaan terjatuh ke dalam air laut ais kerana ketebalan ais hanya antara 3 hingga 4 meter mengikut maklumat jurupandu..”

“90 darjah kutub utara sentiasa berubah ubah setiap masa kerana pergerakan arus dan angin..” ujar beliau.

Misi KE7B kali ini dianggap sangat unik kerana pesertanya berdepan dengan keadaan penjelajahan atas air laut berais dengan suhu antara negatif 15 hingga negatif 40 darjah selsius.

Biarpun berdepan dengan cabaran dan halangan, para penjelajah Malaysia itu dijangka mampu tiba di titik 90 darjah Kutub Utara pada 20 April ini jika cuaca berterusan baik. Tarikh berkenaan adalah 5 hari lebih awal dari tarikh yang dijadualkan.

Cuaca yang baik juga boleh dianggap sebagai rahmat kerana perjalanan misi merentasi Kutub Utara kali ini hanya akan memakan masa 6 hari sahaja berbanding 11 hari seperti kebiasaannya. Itulah yang disasarkan oleh 3 penjelajah kental dari Malaysia.

Apapun, diharapkan seluruh rakyat Malaysia doakan yang terbaik buat anak-anak muda berkenaan. Dan semoga mereka berjaya menamatkan penjelajahan dengan cemerlang serta mengharumkan lagi nama Malaysia di persada dunia. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *