PPBM Makin Bergoncang Selepas Pengasas Parti Letak Jawatan

20/04/2017 – Saban hari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang di bawah pimpinan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat semakin goyah selepas pengasas parti letak jawatan.

Ini dapat dilihat apabila seorang lagi pemimpin kanan PPBM menyuarakan kebimbangannya dengan masa depan parti itu, susulan dakwaan pemimpin lebih berminat dengan jawatan daripada berkhidmat untuk rakyat.

Tariq Ismail yang menganggotai Majlis Tertinggi PPBM berkata, apa yang diluahkan oleh Kamarulazman Habibur Rahman semalam ketika mengumumkan perletakan jawatannya daripada parti perlu diambil perhatian oleh pimpinan.

“Saya harap parti bangun dan sedar, dan membebaskan minda Melayu daripada penyakit gila kuasa yang menimpa mereka.

“Saya mahu mengingatkan ahli parti dan ketua bahagian supaya berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk cita-cita remeh mereka,” kata Tariq.

Tariq juga berkata, beliau tidak menolak partinya akan menerima kesan daripada tindakan Kamarulazman dakwanya kerana “sifat negatif” daripada bekas pemimpin UMNO dibenarkan menular dalam PPBM.

Semalam, Kamarulazman mendedahkan bahawa pemimpin PPBM lebih berminat dengan jawatan perdana menteri dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menggulingkan kerajaan.

“Saya bimbang melihat bagaimana jawatan perdana menteri itu sangat penting bagi sesetengah pihak sedangkan saya lebih berminat membela nasib rakyat.

“Saya dapati bahawa sifat-sifat buruk mula dibenarkan masuk melalui pintu utama PPBM. Ramai di kalangan mereka yang menghabiskan masa untuk berasa bersama pemimpin dan lebih suka memburukkan penggerak yang membuat kerja,” katanya.

Menurut beliau, idea yang dilontarkan beliau demi kepentingan parti tidak diendahkan.

“Apabila saya bercakap benar, ada yang berasa tersinggung dengan apa yang saya utarakan. Ini termasuklah presiden dan timbalan presiden,” katanya.

Namun, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Kamarulazman mungkin kecewa.

“Kroni dia tak pilih dia kot,” kata Mahathir.

Sementara itu, pemimpin teras PPBM, Anina Saadudin menyifatkan tindakan Kamarulazman keluar parti sebagai “kehilangan besar”.

“Mungkin tidak bagi orang lain. Saya kenal beliau lebih dari yang lain. Saya tahu semangat perjuangannya lebih dari yang lain,” kata Anina sambil menyelar mereka yang mengkritik Kamarulazman.

Manakala, Naib Presiden PPBM Datuk Hamidah Osman pula berkata, tindakan Kamarulazman perlu diambil serius.

“Muhyiddin selaku presiden kena melihat perkara ini dan tidak boleh terus berdiam diri. Jangan terus menganggap perkara ini kecil dan mengatakan tidak mengapa dan menuduh orang itu ini tinggalkan parti sebab dia kecewa, sebab akhirnya parti menerima akibat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *