PPBM Yakin Menang Besar Jika Bertanding Di 3 Kerusi Parlimen Pulau Pinang

20/04/2017 – Dek kerana yakin akan menang besar, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini sedang mengintai tiga kerusi Parlimen di Pulau Pinang – Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau.

Menurut Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahaya, parti itu sedia untuk berdepan dengan UMNO, di ketiga-tiga kerusi berkenaan yang disifatkan sebagai “nyawa-nyawa ikan” di negeri itu.

Tetapi, beliau berkata ia terpulang kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk membuat keputusan jika parti itu boleh bertanding di kawasan berkenaan.

“Terpulang kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk membuat keputusan jika kita boleh bertanding di sana.

“Kita mempunyai peluang yang cerah kerana landskap politik semasa tidak memihak UMNO.

“Kita bersedia di kerusi itu kerana sambutan baik yang kita terima apabila melawat kawasan tersebut baru-baru ini,” kata Marzuki.

Malah, beliau mendakwa terdapat 31 kerusi Parlimen termasuk di Kepala Batas dan Tasek Gelugor, di mana kedudukan UMNO berada dalam “ancaman” kononnya kerana parti itu menang dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, Datuk Seri Rizal Merican Naina Merican memenangi kerusi Kepala Batas dengan memperoleh 54.53 peratus undi, manakala Datuk Shabudin Yahaya memenangi kerusi Tasek Gelugor dengan 53.33 peratus undi.

Marzuki turut mendakwa UMNO juga bimbang dengan satu lagi kerusi di Balik Pulau, yang kini dipegang oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, kononnya kerana Bersatu mula menembusi kawasan itu.

“UMNO juga bimbang dengan satu lagi kerusi, Balik Pulau, yang kini dipegang oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, kerana parti kita mula menembusi kawasan itu.

“Adalah jelas UMNO kini berada pada kedudukan paling lemah dan sekiranya pilihan raya diadakan sekarang, mereka akan menghadapi masalah,” dakwanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *