RELA akan jadi ‘spy’ untuk SPRM

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad meminta pegawai dan kakitangan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menjadi telinga, mata dan ejen SPRM.

Beliau berkata, ia susulan hampir 600 pegawai dan kakitangan Rela yang mengorak langkah melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada Selasa.

“Penglibatan agensi ini dalam menandatangani IBR secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja SPRM untuk terus berjuang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam memerangi jenayah rasuah serta salah guna kuasa secara habis-habisan,” katanya ketika berucap dalam majlis tandatangan IBR di sini.

Seramai 581 pegawai dan kakitangan Rela telah mengorak langkah baru dengan melafazkan IBR.

Majlis penandatanganan Ikrar Bebas Rasuah itu yang didahului oleh Ketua Pengarah Rela,  Zulkifli Abidin telah disaksikan oleh Datuk Dzulkifli Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Langkah Rela itu juga bertujuan memantapkan tadbir urus agensi itu untuk bebas daripada sebarang anasir rasuah, selain bagi memastikan integriti pegawai serta kakitangan Rela sentiasa terpelihara dan berada di tahap tertinggi.

Inisiatif oleh Rela ini sekaligus memperlihatkan kesungguhan jabatan itu dalam memastikan pentadbiran dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *