Rusia anggap Amerika ambil risiko jika serang Korea Utara

MOSCOW: Russia memberi amaran kepada Washington supaya tidak melancarkan serangan sebelah pihak ke atas Korea Utara selepas Naib Presiden, Mike Pence menyifatkan era ‘tanpa tindakan’ bersama Pyongyang sudah berakhir.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov dalam sidang media di sini berkata: “Ini adalah laluan amat berisiko.

“Kita tidak dapat menerima tindakan melulu Pyonyang yang melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) namun ia tidak bermakna anda boleh melanggar undang-undang antarabangsa.

“Saya berharap tidak akan ada sebarang tindakan sebelah pihak seperti yang kami saksikan di Syria baru-baru ini,” katanya.

Pence memberi amaran kepada Korea Utara supaya tidak menguji ketetapan Presiden Donald Trump, apabila mengisytiharkan ‘semua pilihan berada di meja rundingan’ bagi mengekang program peluru berpandu dan senjata nuklearnya.

Sambil tidak mengendahkan tekanan antarabangsa, Korea Utara Ahad lalu melancarkan satu lagi ujian peluru berpandu namun gagal tetapi dibimbangi ia mungkin bersiap sedia menjalankan ujian nuklear keenam.

Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berkata, era ‘tanpa tindakan’ dalam berurusan dengan Korea Utara sudah berakhir, selepas lebih dua dekad.

“Sejak dua minggu lalu, dunia menyaksikan kekuatan dan ketetapan presiden terhadap tindakan diambil di Syria dan Afghanistan.

“Korea Utara lebih baik tidak menguji kesabaran beliau atau kekuatan angkatan bersenjata AS,” kata Pence. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *