Salahuddin Ayub Mahu Tahu Apa Tugas Hishammuddin Sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas

KUALA LUMPUR – Mula-mula buat andaian jawatan baharu Menteri Tugas-Tugas Khas sebagai batu loncatan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi Perdana Menteri.

Hari ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub mahu Datuk Seri Najib Razak menyenaraikan pula apa tugas-tugas khas Hishammuddin.

Alasannya, rakyat tertanya-tanya apa tugas menteri baharu itu kerana setiap kementerian melibatkan peruntukan dana awam.

“Perdana Menteri mesti menjelaskan segera kepada rakyat tentang isu tugas-tugas khas Hishammuddin yang menjadi misteri sekarang ini.

“Rakyat menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam masalah yang sangat melucukan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri yang berkuat kuasa pada Rabu lalu.

Jawatan itu merupakan tugas tambahan kepada Hishammuddin yang juga selaku Menteri Pertahanan.

Mengulas lanjut, Salahuddin juga meminta juga Perdana Menteri melaporkan prestasi kerja timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Pengumuman Hishammuddin mengenai antara tugas-tugas khas beliau ialah untuk memantau isu keselamatan di Sabah adalah tidak munasabah dan melucukan.

“Adakah tidak cukup kedudukan sebagai Menteri Pertahanan bagi menjamin keselamatan di Sabah atau satu sindiran sinis terhadap Ahmad Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri yang tidak cekap menjalankan tugasnya?” soalnya.

Salahuddin turut menyifatkan pelantikan Hishammuddin itu sebagai satu pembaziran kerana pada masa sama Perdana Menteri sudah mempunyai lapan menteri di Jabatan Perdana Menteri. – mg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *