Salahuddin Ayub Ramal Najib Dan UMNO Akan Berkubur Selepas PRU14

20/04/2017 – Jika dilihat tindak-tanduk puak pembangkang, mereka sering mencetuskan dakwaan yang tidak benar dan tidak munasabah hanya kerana untuk mempengaruhi rakyat untuk membenci Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO-BN.

Ini dapat dilihat apabila Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub kononnya menjangkakan dua penggal pemerintahan Najib dan UMNO dijangka akan berakhir setelah melantik Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjawat Menteri Tugas-tugas Khas di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Najib telah bertemu saat ajalnya kerana tanda ajal Najib dan UMNO apabila dia melantik sepupunya menjadi menteri tugas-tugas khas.

“Sudah ada 8 menteri di Jabatan Perdana menteri. Yang jaga agama, jaga parlimen, jaga mahkamah sudah bertindih. Tak cukup 8 kena ada seorang lagi,” dakwanya.

Salahuddin berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan ‘Undur Najib Selamat Malaysia’ yang diadakan di Kampung Pandan Dalam, malam tadi.

Malah, beliau cuba mempersoalkan Presiden UMNO itu tidak mahu mengulas mengenai hubungan yang dakwanya kurang baik dengan Naib Presiden merangkap pemangku Timbalan Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Cakaplah terus terang nak buang Zahid kan senang. Nak lantik Hisham untuk apa?,” dakwa Salahuddin.

Salahuddin mencabar Najib untuk senaraikan tugasan jawatan yang disandang Hishammuddin itu.

“Saya cabar senaraikan tugas-tugas khas itu apa? Kata Hisham tugasnya memantau keselamatan di Sabah.

“Awak (Hishammuddin) Menteri Pertahan ada segala kelengkapan ketenteraan boleh arahkan seluruh kekuatan untuk menjaga Sabah,” katanya.

Dalam ucapannya itu, Salahuddin juga mengulas mengenai kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan Pakatan Harapan akan “membantu” untuk menumbangkan UMNO-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Malah beliau turut menyebut PAS yang tidak mahu bersama Pakatan Harapan dianggap gabungan itu sebagai parti kawan BN.

“Parti yang mahu bersama dengan kita, kita namakan Pakatan Harapan. Manakala yang tidak mahu dengan kita, itu parti kawan BN.

“Tugas kita bebaskan negara pada kezaliman sama ada agamawan atau bukan agamawan. Kezaliman pemimpin yang zalim dibantu oleh agamawan yang korup.

“Ini kita kena hentikan. Kita ada matlamat Pakatan Harapan untuk bebaskan negara dari kezaliman dengan urus tadbir yang lebih baik untuk anak cucu kita,” dakwanya.

Beliau cuba menyifatkan dengan PKR, DAP, PAN dan Bersatu terletaknya harapan rakyat untuk menamatkan kekuasaan UMNO-BN.

“Hanya Pakatan Harapan mampu tumbangkan BN dalam PRU akan datang.

“Mereka ada sejuta kekuatan dan berbilion ringgit serta mereka boleh mengerahkan tenaga pegawai-pegaawai kerajaan untuk bersama mereka, tetapi apa yang ada pada kita?

“Pada PKR, DAP, PAN dan Bersatu, kita ada perpaduan kukuh untuk menentang UMNO-BN.

“Walaupun kita pada hari ini berhadapan cabaran dan rintangan kita percaya rakyat bersama dengan kita,” dakwanya yang mengakui 52% undi popular Pakatan Rakyat pada PRU13 tidak mencukupi untuk menumbangkan UMNO-BN.

Turut hadir menyampaikan ceramah umum Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad,Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Adun Teratai Tiew Wey Keng.

Hadir sama Pengerusi Bersatu Negeri Selangor Datuk Rashid Asaari dan Ketua Bersatu Bahagian Pandan Hazli Razali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *