Sambutan tahun pertama kematian Prince meriah di Paisley Park

CHANHASSEN: Peminat legenda pop, Prince, berkumpul di estet mendiang penyanyi itu bagi menyambut ulang tahun pertama kematiannya, ketika pelbagai pihak masih mempertikaikan punca beliau mengambil dadah berlebihan.

Semua tiket habis dijual bagi membolehkan pemilik menyertai sambutan eksklusif selama empat hari yang membabitkan pelbagai acara termasuk konsert, sesi perbincangan dan jamuan di kompleks Paisley Park seluas 6,000 meter persegi di Minnesota, lokasi kediaman Prince.

Selain itu, mercu tanda awam di Minneapolis dan St Paul turut dihiasi dengan lampu berwarna ungu selama dua hari.

Malah, kostum ‘Purple Rain’ milik Prince akan dipamerkan di Pusat Sejarah Minnesota, manakala Gabenor Mark Dayton mengisytiharkan 21 April sebagai ‘Hari Prince di Minnesota’.

Paisley Park mengenakan bayaran antara AS$500 hingga AS$1,000 (RM2,198 hingga RM4,397) kepada peminat yang ingin melawat estet itu.

Sebahagian besar peminat berkumpul di luar pagar Paisley Park bagi memberi penghormatan kepada mendiang Prince.

“Saya amat meminati Prince, dulu dan selama-lamanya. Saya berada di sini, pada waktu ini tahun lalu ketika mendengar berita itu.

“Sudah setahun ia berlalu, jadi saya mahu menyebarkan rasa cinta dan memberikan sesuatu kepada orang ramai untuk mereka kenang, ” kata Crystal Meadows, 35, dari Columbia Heights.

Meadows mengedarkan kepingan kertas berbentuk merpati dan pen supaya peminat Prince boleh menulis kata-kata penghormatan di atas kertas itu.

Ia bagi memperingati lagu nyanyian Prince bertajuk ‘When Doves Cry’ yang dimuatkan dalam filem ‘Purple Rain’ pada 1984. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *