Semua Plaza Tol Plus Akan Beroperasi Secara Elektronik Bermula 26 April Ini

KOTA BHARU – Bermula 26 April ini, transaksi di semua plaza tol kendalian Plus Malaysia Berhad (Plus) keseluruhannya akan beroperasi secara elektronik dan tiada lagi bayaran tunai.

Ketua Pegawai Operasi Plus, Mohammad Fuad Khusairi berkata, pemandu di Pantai Timur dari Kelantan dan Terengganu yang akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan atau melakukan perjalanan ke ibu negara perlu menyediakan kad elektronik masing-masing.

Menurutnya, melalui inisiatif itu, tiada lagi bayaran secara tunai dan pengguna perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n’ Go atau SmartTAG.

“Pelaksanaan fasa terakhir inisiatif ini yang melibatkan 71 lagi plaza tol di antara Juru hingga Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan pada 26 April ini membolehkan semua plaza tol di Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Elite beroperasi secara elektronik.

“Secara tidak langsung, ia membantu orang ramai melalui plaza tol dan membayar tol dengan lebih mudah, pantas dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan itu juga, semua plaza tol kendalian Plus bermula dari Bukit Kayu Hitam di utara hingga Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di selatan dikendalikan secara elektronik.

Menurutnya, ia termasuklah transaksi di Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim, Elite, NKVE, Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, Lebuh raya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Linkedua.

“Setakat ini kira-kira 92 peratus daripada keseluruhan pengguna Lebuhraya Plus yang menggunakan lebuhraya, membayar tol guna sistem elektronik.

“Transaksi tol elektronik jauh lebih pantas dan selesa berbanding tunai, kerana mampu mengendalikan 1,000 dan 600 transaksi dalam satu jam.

“Lorong tunai keluar pula hanya mampu mengendalikan kira-kira 180 transaksi sahaja bagi tempoh sama,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Plus menasihatkan orang ramai khususnya yang melalui 71 plaza tol di antara Juru dan Skudai supaya mendapatkan kad elektronik masing-masing.

“Terdapat lebih daripada 9,000 lokasi tambah nilai kad elektronik di seluruh negara termasuk mesin ATM, kedai 24 jam, stesen minyak dan pusat beli-belah,” katanya. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *