Setengah juta penduduk sudah tinggal Iraq kerana perang

BAGHDAD: Hampir setengah juta penduduk meninggalkan kediaman mereka sejak tentera Iraq melancarkan operasi membebaskan Mosul daripada cengkaman militan genap enam bulan lalu, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Tentera Iraq memulakan operasi ketenteraan terbesar di negara itu pada 17 Oktober tahun lalu dan berjaya menawan bahagian timur bandar Mosul pada Januari.

Namun satu serangan yang dilancarkan bulan berikutnya di Mosul, di barat Sungai Tigris, menyaksikan peningkatan mendadak penduduk yang terpaksa berpindah.

Penyelaras kemanusiaan PBB di Iraq, Lisa Grande dalam kenyataan berkata, jumlah orang awam yang masih melarikan diri dari Mosul amat mengejutkan.

“Senario terburuk kami ialah apabila pertempuran bermula yang kemudiannya menyebabkan hampir sejuta orang awam mungkin melarikan diri dari Mosul.

“Ketika ini lebih 493,000 sudah melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang,” katanya.

Tentera Iraq mencapai kejayaan signifikan di barat Mosul dalam tempoh dua bulan lalu namun pertempuran paling sukar mungkin menanti dengan militan Daesh yang berlindung di jalan berisiko di Bandar Lama.

PBB menganggarkan tambahan setengah juta orang awam masih berada dalam kawasan dikawal Daesh di barat Mosul. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *