Skandal Dyana Dan Zairil Buat DAP Pening Kepala

20/04/2017 – Susulan tular satu siri gambar-gambar yang memaparkan mereka dalam kedudukan intim, percalonan dua ahli DAP Melayu berprofil tinggi itu pada pilihan raya umum akan datang menjadi tanda tanya.

Lelaki dalam gambar itu dikatakan mirip Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Namun Zairil menafikan bahawa dirinya dalam gambar berkenaan.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, gambar-gambar yang tular itu satu lagi percubaan untuk memfitnah beliau dengan “serangan peribadi”.

“Bukan, itu bukan saya. Ia jelas satu lagi percubaan untuk memfitnah saya dengan serangan peribadi. Ia adalah palsu,” kata Zairil dalam satu kenyataan.

Manakala wanita dalam gambar itu pula yang dikatakan mirip Dyana Sofya Mohd Daud, masih belum mengesahkan atau menafikan jika sesungguhnya beliau adalah individu yang dirakamkan tersebut.

Gambar-gambar yang menjadi tular itu memaparkan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah restoran, di mana sekeping daripadanya menggambarkan pasangan itu sedang bercumbu.

Ini bukan kali pertama, gambar-gambar yang didakwa memaparkan pasangan itu timbul. Ketika ini, terdapat ‘cakap-cakap’ di kalangan pemimpin DAP bahawa apa yang berlaku menyebabkan kesipuan kepada parti itu dan mungkin menjejaskan pencalonan pasangan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ini dapat dilihat apabila kepimpinan DAP Pulau Pinang dan Perak memberi bayangan bahawa pencalonan mereka, sehingga hari ini belum ada kepastian dan mungkin akan disentuh dalam perbincangan nanti.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau akan mengarahkan Zairil untuk “memberi penjelasan” tidak lama lagi dan menasihatkannya supaya berdepan dengan media.

Beliau juga mengulas mengenai sama ada pemimpin DAP Pulau Pinang akan membincangkan sekiranya gambar-gambar berkenaan akan menjejaskan pencalonan semula Zairil sebagai seorang wakil rakyat berkata, perbincangan akan diadakan “jika perlu”.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata pencalonan Dyana Sofya untuk bertanding di kerusi parlimen Teluk Intan pada pilihan raya umum akan datang akan ditentukan oleh pucuk pimpinan DAP pusat.

“Saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk buat keputusan. Zairil telah berulang kali menafikan (gambar-gambar sebelum ini) tetapi foto keluar berterusan.

“Jadi adalah lebih baik media mendapat jawapan dari mulut mereka sendiri,” kata Kor Ming.

Dalam pada itu, Kor Ming juga cuba mempertahankan Dyana Sofya apabila mengatakan pemimpin muda DAP itu seorang yang aktif dan sering terlibat dalam program rakyat.

“Dyana aktif di Teluk Intan dan setiap minggu terlibat dalam program rakyat bersama ADUN (Pasir Bedamar) Terence Naidu. Beliau amat komited untuk berkhidmat kepada rakyat Teluk Intan,” katanya.

Mengulas gambar tular berkenaan, Dyana Sofya tidak mengesahkan atau menafikan bahawa beliau adalah wanita seperti dalam gambar tersebut.

Beliau berkata, ini adalah “serangan peribadi” ketiga dalam tempoh dua bulan kerana menganggap pilihan raya umum tidak lama lagi.

“Ini adalah serangan peribadi ketiga dalam tempoh dua bulan, saya anggap pilihan raya umum dah nak dekat.

“Tak kira siapa dalam gambar dan video-video yang didakwa adalah saya, ini pencerobohan privasi dalam hidup orang itu.

“Saya sedih budaya politik kita telah sampai ke tahap ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *