‘Suami Saya Sekarang Merupakan Suami Kawan Baik Saya, Siapa Saya Untuk Menolak Takdir’

21/04/2017 – Bukan calang-calang wanita yang mampu dan redha hidup bermadu. Isteri mana mahu suami yang selama ini miliknya seorang terpaksa dikongsi dengan wanita lain.

Tidak semua yang merestui jauh sekali sudi untuk meminang bagi pihak suami. Lebih menyakitkan hati apabila mengetahui madu adalah kawan baik sendiri. Seperti ditikam sahabat dari belakang, kepercayaan yang diletakkan pada sahabat telah diambil kesempatan.

Sering kali apabila sebut sahaja tentang ‘madu’, pasti akan ada yang menyatakan ‘mungkin itu adalah jodoh saya’. Itulah yang berlaku pada wanita ini disebabkan telah merampas suami kawan baiknya sendiri. Rumah tangganya hancur kerana kawan baiknya itu tidak dapat menerima kehadirannya madunya itu sehingga dia telah menghalang suaminya dari pulang ke rumah isteri kedua.

“Saya sedang berduka lara angkara sikap madu saya yang enggan membenarkan suami saya pulang ke rumah saya. Saya tahu silap saya mengahwini suami kawan baik saya sendri tetapi siapa saya untuk menolak takdir?”

“Saya janda anak 3 sebelum berkahwin dengan suami sekarang. Suami saya sekarang merupakan suami kawan baik saya. Sebelum ini saya selalu datang ke rumah dia dan banyak mengadu tentang masalah saya kepada dia. Hingga suatu hari suami dia SMS saya untuk berborak.”

“Dari SMS kami makin rapat dan kami selalu berjumpa. Saya sudah cuba untuk lawan tapi nak buat macam mana jodoh kami kuat. Kami mengambil keputusan berkahwin disempadan untuk mengelakkan diketahui kawan saya tersebut. Selepas perkahwinan kami, si isteri iaitu kawan baik saya dapat tahu dia mengamuk macam orang gila.”

“Paksa suami saya ceraikan dia, suami saya tidak sanggup untuk ceraikan dia kerana anak-anak. Hari berganti hari, dia mula semakin benci kepada saya sehinggakan tidak membenarkan si suami datang menjenguk saya. Yang menyedihkan saya, si suami pun tidak lagi berani untuk datang jumpa saya malahan telefon pun tidak diangkat.”

“Saya naik angin lalu datang bersemuka dengan madu saya yang juga bekas kawan baik saya. Saya dihina, dicerca macam-macam dan suami tidak mempertahankan saya sebaliknya memberi kata dua untuk melepaskan saya. Hati siapa tidak hancur, saya sedih sangat pengorbanan saya tinggalkan anak-anak semasa ikut dia tidak dihargai. Saya dibuang macam kain buruk, tolong jangan cerca saya bagi lah kata-kata semangat kepada saya.” – MissA/UtaraNews.com