Suspek Kes Pembunuhan Kim Jong Nam Kini Lebih Tenang

SEPANG – Wanita warga Vietnam yang didakwa terbabit dalam pembunuhan Kim Jong Nam kini lebih tenang, tetapi ahli keluarganya masih tidak percaya Doan Thi Huong terbabit dalam kes itu.

Tran Huy Hoang, 23, bertegas sepupunya yang berusia 29 tahun itu tidak bersalah dalam pembunuhan itu.

“Kami tetap dengan pendirian Doan tidak bersalah dan dianiaya. Ini dapat dilihat apabila dia (Doan) hadir semula ke klia2 dengan berbaju sama, sebelum ditahan polis.

“Malah, seluruh rakyat Vietnam tidak percaya Doan terlibat dalam pembunuhan ini,” katanya kepada wartawan di luar Kompleks Mahkamah Sepang, hari ini.

Tran berkata, keadaan Doan bertambah baik sejak ditahan pada 14 Februari lalu hasil makluman bapa Doan kepadanya selepas menemui anaknya di Penjara Kajang semalam.

“Ayahnya ada bertemunya semalam. Dia beritahu keadaan Doan bertambah baik, mampu tersenyum kerana Doan mendapat sokongan dari kedutaan dan juga ahli keluarga.”

Katanya, beliau bersama ayah Doan datang ke Malaysia Isnin lalu. Namun, ayah tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Saya tiba Isnin lalu dan akan pulang ke Vietnam pada Sabtu minggu depan,” katanya yang memaklumkan mereka datang dengan tiket penerbangan tajaan NGO Vietnam.

Sebelum itu, jurubahasa Doan yang hanya mahu dikenali sebagai Mariam berkata, terdapat perubahan emosi dalam diri tertuduh.

“Kali ini dia lebih okey sebab kedutaan, ahli keluaga hadir melawatnya. Ia berbeza dengan keadaannya sebelum ini yang kelihatan lebih tertekan.

“Malah, dia sempat lambai dan kata ‘bye-bye’ sewaktu dibawa keluar dari kandang tertuduh,” katanya.

Doan hadir ke Mahkamah Sesyen Sepang berbaju biru serta berseluar jeans biru. Seorang lagi suspek warga Indonesia, Siti Aisyah hadir ke mahkamah dengan baju merah.

Pada 13 Februari lalu, Jong Nam didakwa dibunuh 2 wanita asing yang menyapu mukanya dengan cecair disahkan agen saraf VX yang diharamkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, ketika menunggu penerbangan ke Macau di klia2. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *