Taliban menyamar dengan seragam Tentera bunuh 50 anggota keselamatan.

KABUL: Lebih 50 anggota tentera Afghanistan maut dalam serangan militan Taliban yang memakai seragam pasukan keselamatan ke atas pangkalan tentera di utara negara itu.

Komando Afghanistan dikerah ke lokasi kejadian ketika serangan yang berlanjutan beberapa jam dan menyasarkan anggota tentera ketika ke masjid serta menikmati hidangan.

Dua daripada 10 penyerang meletupkan diri manakala tujuh lagi terbunuh dan seorang ditahan.

“Lebih 50 tentera Afghanistan maut dalam serangan Taliban ke atas pangkalan mereka berhampiran bandar raya Mazar-i-Sharif,” kata jurucakap tentera Amerika Syarikat (AS) kepada AFP.

Komander AS dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), John Nicholson, dalam kenyataan berasingan berkata, serangan menyasarkan anggota tentera Afghanistan yang bersolat dalam masjid dan yang berada di dewan makan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Afghanistan, Jeneral Dawlat Waziri, berkata penyerang memakai seragam tentera melancarkan serangan di perkarangan pangkalan di pinggir Mazar-i-Sharif.

“Seramai 10 penyerang terbabit dalam serangan itu. Tujuh daripada mereka terbunuh, dua nekad meletupkan diri sendiri dan seorang ditahan,” katanya.

Serangan dilancarkan kira-kira jam 2 petang dan berakhir menjelang malam. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *