Tan Cheng Hoe hanya tunggu masa untuk ‘angkat kaki’ dari Kedah.

ALOR SETAR: Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe menyatakan beliau hanya menunggu masa yang sesuai sebelum ‘angkat kaki’ daripada pasukan itu.

Katanya, beliau kini mahu menyelesaikan beberapa isu dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melalui perbincangan yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Saya ada kontrak dengan Kedah jadi saya harap ada perbincangan yang terbaik antara kami,” katanya selepas perlawanan Liga Super Kedah menentang PKNS FC di Stadium Darul Aman, Sabtu malam.

Pada Sabtu, Naib Presiden KFA, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan status Cheng Hoe, yang menghantar surat peletakan jawatannya 1 April lepas.

Nama Cheng Hoe yang membawa Kedah muncul juara Piala Malaysia musim lalu disebut-sebut bakal dilantik sebagai pembantu jurulatih pasukan Harimau Malaya.

Mengenai perlawanan Sabtu malam, Cheng Hoe berkata, beliau kecewa dengan keputusan seri 1-1 bertemu PKNS FC yang menyebabkan Kedah jatuh ke tangga kedua Liga Super walaupun berkongsi 19 mata dengan Pahang.

“Agak kecewa ditambah mutu pengadilan yang lemah hingga perlawanan dihentikan beberapa kali dalam suasana hujan lebat merencatkan corak permainan pasukan Kedah,” katanya. – Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *