Tariq Ismail Tidak Akan Ikut Jejak Kamarul Azman

SHAH ALAM – Ahli Majlis Tertinggi Bersatu,Tariq Ismail menafikan beliau akan turut serta mengikut jejak salah seorang pengasas parti itu, Kamarul Azman Habibur Rahman yang bertindak demikian.

Katanya, sehingga kini beliau mahu terus berjuang di dalam parti yang ditubuhkan pada tahun 2016 itu.

“Di sini ingin saya menyangkal sama sekali desas-desus (beliau mahu keluar parti) tersebut. Saya masih percaya bahawa perjuangan untuk mengembalikan maruah Melayu dan menyelamatkan Malaysia baru sahaja bermula.

“Sesungguhnya, jalan yang kami tempuhi memang berliku, memang penuh onak duri. Namun sebagai anak jati Malaysia yang sayangkan bangsa dan cintakan negara, matlamat ini tetap saya juangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab tuduhan yang mengaitkan namanya antara pemimpin yang akan menyusul keluar daripada Bersatu selepas Kamarul Azman berbuat demikian.

Ujarnya “mana ada perjuangan yang tidak mencabar, apatah lagi yang tiada halangan”.

“Harus kita semua ingat, pejuang yang gagah tak akan mengaku kalah hanya disebabkan sedikit pertelingkahan.Saya tidak akan menyerah kalah selagi hayat dikandung badan,” katanya lagi.

Justeru katanya, tumpuan beliau sekarang hanya untuk mencapai matlamat perjuangan yang sebenar.

“Bukan untuk mendapatkan pangkat atau kekuasaan tetapi untuk membaik pulih hidup rakyat,” katanya.

Tariq turut menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahaginya terhadap kepimpinan Bersatu iaitu Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin danTimbalan Presiden Bersatu: Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Yang ringan akan sama kita pikul dan yang berat sama dijinjing. Pantang menyerah sebelum kalah,” katanya lagi. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *