Tayar Celup Yang Mempunyai Sirim Selamat Digunakan – JPJ

SEREMBAN – Penggunaan tayar celup yang mendapat pengesahan daripada pihak Sirim adalah tayar celup berkualiti dan selamat digunakan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron berkata, kewujudan tayar celup tanpa pengesahan pihak Sirim yang dikeluarkan syarikat tidak berlesen berisiko tinggi mendatangkan kemalangan.

“Tayar celup ini adalah satu industri yang dilesenkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan sebagainya, di luar negara pun ada penggunaan tayar celup.

“Tetapi kita kena ingat, kena guna tayar celup berkualiti dan mesti disahkan Sirim kerana pengiktirafannya perlu melalui ujian di makmal dan sebagainya sebelum sijil pengesahan dikeluarkan.

“Bagaimanapun penggunaan tayar celup berisiko adalah tayar celup yang dihasilkan syarikat tidak berlesen. Tayar ini tidak mengikut kaedah dan peraturan ditetapkan Sirim, inilah punca kemalangan kerana tayar cepat meletup dan sebatian getah mudah terkeluar,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ Zon Selatan.

Beliau berkata demikian mengulas kekeliruan orang ramai terhadap status penggunaan tayar celup di negara ini.

Nadzri berkata, pihaknya memohon kerjasama agensi lain, antaranya KPDNKK dan Lembaga Getah dalam memastikan pengeluaran tayar celup mengikut spesifikasi.

Dalam perkembangan lain, Nadzri berkata, hukuman dan denda terhadap pemandu kereta atau penunggang motosikal di bawah pengaruh dadah sehingga meragut nyawa, akan dilihat semula.

“Walaupun kes seperti ini masih tidak membimbangkan memandangkan statistik menunjukkan 60% punca kemalangan melibatkan had laju serta penunggang dan pembonceng motosikal, namun ia harus diambil serius juga.

“Tetapi kami lebih bimbang jika ia melibatkan pemandu bas atau teksi kerana mereka membawa ramai penumpang,” katanya.

Mengenai sistem mata demerit, Nadzri berkata, ia dilaksanakan bukan semata-mata untuk menghukum, tetapi bagi mendidik dan tidak mahu wujud lebih ramai pemandu tegar yang melakukan kesalahan jalan raya berulang kali.

“Sebelum ada sistem ini, orang kata kami tidak tegas, jadi kami laksana sistem seperti ini yang dilihat lebih tegas dan berkesan.

“Maklum balas daripada orang ramai akan dilihat juga nanti dan mungkin akan dipertimbangkan jika kami buat kajian semula nanti,” katanya. – ap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *