Tempat buangan kepak ayam di Sibu kini dikepung Polis.

SIBU: Polis membuat kepungan sejak tengah hari Selasa di tapak di mana beberapa kontena kepak ayam sejuk beku dilupuskan dan ditanam oleh pihak berkuasa Jumaat lepas.

Anggota polis juga diletakkan berkawal di tempat masuk kawasan itu bagi menghalang oramg awam daripada memasukinya.Tinjauan di tapak pelupusan kepak ayam itu mendapati bau busuk boleh dihidu dari tempat kepak ayam itu ditanam.

“Tiada siapa yang datang ke sini hari ini dan jika mereka datang, kami terpaksa mengarahkan mereka meninggalkan tempat ini,” kata salah seorang daripada dua anggota polis yang berkawal di sini.

Sementara itu, satu mesyuarat tergempar mengenai perkara itu diadakan di pejabat Kastam Diraja Malaysia di Jalan Deshon di sini pagi Rabu, dihadiri oleh pegawai daripada jabatan berkaitan termasuk Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Muhamad Rais Abdullah.

Bagaimanapun, tiada siapa yang ingin membuka mulut kepada wartawan mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Wartawan yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai perkara itu diberitahu bahawa Pengarah Kastam negeri Ahmad Ji akan datang ke sini dan dijangka mengadakan satu sidang media pagi Khamis.

Apabila berita mengenai pelupusan kepak ayam itu tersebar dalam kalangan penduduk tempatan, ramai yang datang ke tapak itu pada Selasa untuk menggali keluar kepak ayam yang ditanam tanpa menghiraukan kemungkinan anggota ayam itu berbahaya kepada kesihatan mereka.

Difahamkan kepak ayam itu yang dirampas oleh Unit Penguat Kuasa Kastam di Pelabuhan Sibu Rajang, berasal dari Belanda.

Semakan di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati Malaysia telah mengeluarkan larangan pada 30 November tahun lepas terhadap import sebarang unggas dari Belanda berikutan penularan Selesema Burung Patogen Tinggi di dalam negara Kesatuan Eropah itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *