Tiga penjelajah negara buat latihan terakhir.. – Datuk Akmar

Longyearbyen (Pulau Svalbard, Norway): Tiga penjelajah negara kini dalam persiapan bagi menyesuaikan diri untuk peringkat latihan terakhir sebelum memulakan misi merentas Kutub Utara pada 12 April ini.

Penasihat Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof berkata, latihan peringkat akhir selama tiga hari itu lebih fokus pada penyesuaian diri dengan cuaca sejuk yang ekstrem dengan suhu boleh mencecah negatif 50 darjah Celsius, ikhtiar hidup, pengurusan diri dan kelengkapan peralatan dan makanan yang bakal digunakan sepanjang tempoh penjelajahan.

Beliau berkata, Muhammad Muqharabbin Mokhtarruddin, 37, Mohd Irwan Yusof Abdullah, 35, dan Shahrom Abdullah, 38, kini bersedia pada tahap prestasi tertinggi untuk menggalas misi menjadi kumpulan pertama rakyat Malaysia merentasi Kutub Utara.

“Sepanjang latihan, penjelajah negara akan dibantu dua jurupandu dari Polar Explorers North Pole Expedition iaitu Taylor Sweitzer dan Chris Paustian.

“Selain mempelajari cara penggunaan senjata api, penjelajah juga menggunakan perkhidmatan dua anjing Husky berperanan menjadi pelindung keselamatan kerana anjing ini memberi amaran awal kehadiran beruang kutub yang boleh mengancam keselamatan penjelajah di kawasan latihan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *