Trump didakwa pernah pinjam wang dari Rusia sewaktu krisis ekonomi.

LONDON: Seorang bekas bos agensi perisikan Britain, M16 mendakwa, Presiden Amerika Syarikat (AS) pernah meminjam wang daripada Rusia semasa krisis kewangan global pada 2008.

Richard Dearlove yang merupakan bekas pengarah M16, mendakwa, Trump membuat pinjaman itu kerana mahu mengekalkan empayar perniagaannya yang dihimpit krisis kewangan.

Menurut portal Metro yang memetik kenyataan Dearlove, Trump terpaksa meminjam wang daripada Rusia berdasarkan perjanjian yang tidak didedahkan, selepas beliau gagal mendapatkan pinjaman daripada bank di AS serta peminjam lain ekoran sejarahnya yang pernah bankrap.

Bagaimanapun Dearlove tidak menunjukkan sebarang bukti jelas yang menyokong dakwaan beliau.

Dakwaan Dearlove itu timbul ketika beberapa pihak mendedahkan hubungan baik Trump dan Rusia sedangkan hubungan kedua-dua negara semakin tegang sejak beberapa tahun lalu.

Kongres AS kini menjalankan siasatan terhadap hubungan Trump dan Rusia selain campurtangan Moscow dalam Pilihan Raya Presiden tahun lalu.

Moscow bagaimanapun tidak mengulas lanjut tentang dakwaan Dearlove yang meninggalkan agensi perisikan terbabit pada 2004.