Trump ucap terima kasih kepada Erdogan kerana sokong tindakan AS di Syria

ANKARA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari Turki, Recep Tayyip Erdogan atas kemenangan pungutan suara yang melanjutkan kuasanya, kata Rumah Putih.

Panggilan telefon itu kali pertama dilaporkan media Turki, sehari selepas Erdogan memperoleh lebih 51 peratus dalam pungutan suara kelmarin.

“Trump menelefon Erdogan malam ini (Isnin) dan mengucapkan tahniah atas kejayaan dalam pungutan suara,” kata sumber presiden Turki dipetik agensi berita Anadolu.

Reaksi daripada Trump bertentangan dengan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) yang enggan memberi reaksi terhadap kejayaan tipis sementara pemantau menyuarakan kebimbangan berhubung ‘medan permainan tidak setara.’

Rumah Putih dalam satu kenyataan semalam berkata, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai topik selain kemenangan pungutan suara di Turki.

“Presiden Donald J. Trump bercakap dengan Erdogan untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan pungutan suara terbaru dan membincangkan tindakan AS terhadap penggunaan senjata kimia oleh rejim Syria pada 4 April lalu.

“Trump mengucapkan terima kasih kepada Presiden Erdogan kerana menyokong tindakan AS dan kedua-dua pemimpin bersetuju membawa Presiden Bashar al-Assad ke muka pengadilan.

“Kedua-dua pemimpin juga berbincang mengenai kempen anti-Daesh dan perlunya bekerjasama menentang semua kumpulan yang menggunakan keganasan bagi mencapai matlamat mereka,” kata kenyataan. -AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *