Tunjuk Hero, Mukhriz Beri Tarikh Debat Yang Baru

ALOR SETAR – Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencadangkan tarikh baharu untuk berdebat dengan bekas pembantu khasnya, Haris Che Mat, selepas polis tidak meluluskan permohonan debat itu.

Debat yang dijadual berlangsung pada 8 April di Padang Sera, tidak dapat diadakan kerana penganjur gagal memenuhi syarat ditetapkan polis.

Mukhriz berkata, pihaknya mencadangkan 27 April atau 5 Mei sebagai tarikh baharu selepas tarikh yang dipilih Haris ditolak permohonannya.

“Haris dalam kenyataan medianya sebelum ini, ada mencadangkan satu lagi tarikh pilihan, iaitu 15 April kerana mengikut peraturan, penganjur hendaklah membuat permohonan permit kepada polis daerah dalam masa 10 hari sebelum program. Apa alasan beliau untuk tolak cadangan debat pada 15 April depan?,” katanya.

Mukhriz yang juga Adun Ayer Hitam berkata, pihaknya berharap Haris akan memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu sekali lagi mengenai cadangan tarikh baharu itu.

“Setahu saya, Akta Perhimpunan Aman 2012 menyatakan pihak keselamatan perlu diberitahu mengenai sesuatu perhimpunan atau acara debat, 10 hari sebelum tarikh penganjuran. Bukan kuasa polis untuk melulus atau menolak pemberitahuan itu,” katanya.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab polis untuk mengawal keselamatan awam namun harus membenarkan proses demokrasi berlangsung tanpa gangguan.

“Saya juga hairan kenapa ada bantahan yang didakwa dari penduduk dan peniaga kononnya bimbang mengenai keselamatan diri dan keluarga sekiranya debat ini berlangsung. Saya percaya debat secara matang boleh diadakan tanpa cetuskan pergaduhan atau gugat keselamatan awam,” katanya.

Manakala pemangku Ketua Polis IPD Kubang Pasu, Deputi Superintenden Chan Keat Seng mengesahkan polis menolak permohonan debat itu atas beberapa faktor, antaranya, penganjur lewat kemukakan borang pemberitahuan seperti ditetapkan bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Permohonan itu perlu dibuat 10 hari sebelum tarikh perhimpunan, sedangkan permohonan dibuat pada Selasa (4 April). sekiranya Haris berhasrat mahu diadakan debat, beliau perlu mengemukakan permohonan baharu,” katanya.

Menurutnya, pihak penganjur akur dengan keputusan polis dan sehingga semalam, tiada permohonan baharu dikemukakan.

“Setakat ini Haris belum serah permohonan baharu. Laporan polis juga dibuat oleh penduduk setempat dan peniaga yang membantah penganjuran debat itu diadakan di kawasan mereka,” katanya. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *