Tutup F1 Bermakna Berakhirlah Legasi Mahathir Di Malaysia

19/04/2017 – Hampir dua dekad Malaysia telah menganjurkan perlumbaan Grand Prix Formula One (F1) yang menyaksikan negara sebagai negara kedua Asia selepas Jepun mempromosikan negara menerusi sukan berprestij negara.

Walaubagaimanapun, pada 1 Oktober ini, F1 di Malaysia akan berlangsung untuk kali terakhir di Litar F1 Sepang, selaras dengan keputusan kerajaan menghentikan acara tahunan itu kerana kemerosotan jualan, tontonan dan hasil pelancongan yang berkaitan dengannya.

Bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan, Zin Mahmud berkata kerajaan dan pemegang hak komersial F1 itu menamatkan perjanjian mereka setahun lebih awal daripada tempohnya, yang bermakna perlumbaan tahun ini adalah terakhir.

Grand Prix F1 yang diadakan di Malaysia bermula pada 1999, di Litar Antarabangsa Sepang yang baru, dan menjadi antara legasi ikonik Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengatakan acara akhir perlumbaan ini boleh disifatkan sebagai penutup tirai legasi Dr Mahathir menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14). Maka pilihan raya akan datang yang dispekulasikan mungkin berlangsung Oktober ini juga menyaksikan pertembungan politik Dr Mahathir dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Pada masa ini, wadah politik Dr Mahathir, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan untuk menentang Barisan Nasional (BN),” katanya.

Anggota asal Pakatan Harapan ialah PKR, DAP dan PAN. Secara umum, Pakatan Harapan diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih berada dalam penjara.

Ketika Perlumbaan F1 pertama di Malaysia pada 1999, Dr Mahathir adalah juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO yang sedang menghadapi pilihan raya ke-10, yang diadakan pada November 1999, tidak sampai sebulan daripada acara F1 itu.

Dalam pilihan raya itu, BN ditentang Barisan Alternatif, kerjasama longgar PKR, PAS, DAP dan PRM, yang menjadikan Anwar ketuanya walaupun berada dalam penjara. Pada masa itu, Najib ialah naib presiden UMNO, dan orang kanan Dr Mahathir.

Tambahnya, tetapi perancangan Perlumbaan F1 dibuat lebih awal. Pembinaan Litar Antarabangsa Sepang bermula pada 1997. Namun proses penyertaan Malaysia dalam perlumbaan F1 ini boleh dikira bermula pada 1996 apabila Petronas terlibat dalam pembangunan enjin kereta lumba Sauber untuk digunakan bagi acara itu.

Beliau menyifatkan tahun 1996 ialah kemuncak pentadbiran Dr Mahathir, iaitu ketika Dr Mahathir sudah memimpin Malaysia selama 15 tahun.

“Namun dua puluh tahun selepas 1996, iaitu tahun lepas, Dr Mahathir menjadi salah seorang daripada pemimpin pembangkang menentang UMNO dan BN.

“Tetapi pada 1996, beliau sedang berada di kemuncaknya dengan mendapat sokongan kuat melalui kemenangan besar BN setahun sebelumnya, menyaksikan kemerosotan pengaruh pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, pada 1996, Malaysia berada dalam kedudukan baik dari segi politik dan ekonomi dengan nama Dr.Mahathir harum di seluruh dunia, terutamanya di kalangan negara Islam dan dunia ketiga. Dengan semangat ini, rakyat Malaysia memandang ke depan untuk menjadi negara maju pada 2020 melalui program Wawasan 2020.

“Apa yang dimaksudkan dengan negara maju ialah negara perindustrian. Wawasan 2020 dilancarkan pada 1991 ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-6. Ketika itu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memakan masa 30 tahun sudah berakhir.

“Pada tahun itu juga, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) diumumkan bagi menggantikan DEB. Tahun itu juga Anwar menjadi menteri kewangan. Sementara Najib dilantik menteri pertahanan.

“Bagi Dr Mahathir, Malaysia perlu menjadi negara perindustrian dan bukannya pertanian untuk menjadi maju. Untuk itu, Malaysia perlu terlibat dalam perindustrian berat.

“Sebab itulah beliau percaya pembangunan industri automobil adalah kunci bagi memasuki ekonomi industri. Projek kereta nasional melalui Proton adalah merupakan landasan laluan ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata Dr Mahathir mengemukakan Perlumbaan F1 di Malaysia dengan penglibatan Petronas dalam pembangunan enjin Sauber. Projek ini seiring dengan langkah Proton membeli syarikat Lotus di Britain bagi memperoleh enjin automobil itu.

Perindustrian berat nasional, Projek Kereta Nasional (Proton), Litar Antarabangsa Sepang dan Perlumbaan Grand Prix F1 di Malaysia merupakan sebahagian daripada legasi Dr Mahathir.

Tambahnya, kekuatan untuk aktif dalam pembangunan ekonomi ini dilandaskan dengan kemantapan kedudukan politik Dr.Mahathir pada 1996. Ketika itu Anwar adalah timbalan perdana menteri dan timbalan presiden UMNO yang memberi kekuatan pada pentadbiran Dr.Mahathir.

Anwar yang dilihat juga sebagai bakal pengganti Dr.Mahathir memberi harapan besar kepada masa depan kestabilan dan kemajuan negara.

Pada 1996, hayat Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah, iaitu 2 pakatan pembangkang, berakhir apabila pemimpin mereka, Tengku Razaleigh Hamzah membubarkan Parti Melayu Semangat 46 dan membawa kebanyakan ahlinya menyertai UMNO Baru.

Ekoran itu, UMNO Baru dapat mengubah namanya kepada UMNO dan secara sahihnya mewarisi UMNO asal. Tetapi tahun berikutnya, iaitu 1997, krisis kewangan Asia sampai ke Malaysia. Kemakmuran ekonomi negara ini tergugat.

Anwar dilucutkan jawatan menteri kewangan dan timbalan perdana menteri, dan tidak lama kemudian melancarkan “Reformasi” sehingga menggugat kedudukan politik UMNO dan BN.

Jelasnya lagi, selepas berjaya mengekalkan kekuasaannya dalam pilihan raya umum 1999, Dr.Mahathir melepaskan jawatannya pada 2003. Pada tahun berikutnya, BN menang besar dengan mengambil kembali Terengganu.

“Tetapi pada pilihan raya umum 2008, BN di bawah Tun Abdullah Ahmad kehilangan Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

“Najib menggantikan Abdullah pada 2009 dan memenangi pilihan raya umum 2013 dengan berjaya mengambil semula Kedah dan Perak, 2 negeri BN yang terlepas pada 2008,” katanya.

Jika dilihat tahun ini, tinggal 4 tahun lagi menuju 2020. Najib mengumumkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang rancangannya akan diisytiharkan pada 2020. Maknanya, pilihan raya umum ke-14 adalah untuk menubuhkan kerajaan yang akan menyediakan Malaysia untuk program TN50.

Sementara itu pilihan raya umum ke-15 pula adalah penubuhan kerajaan untuk pelaksanaannya. Sasarannya adalah tahun 2050, iaitu 30 tahun selepas 2020 yang akan melibatkan sekurang-kurangnya 6 pilihan raya.

Apa pun Wawasan 2020 sudah dikira berakhir, begitu juga legasi Dr.Mahathir dalam mencorakkan masa depan negara.

Manakala legasi ikonik Dr Mahathir yang lain seperti Putrajaya, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia dan Kereta Api Transit Laju Ringan (LRT), antara lain sedang dibayangi dengan projek Najib yang juga besar-besar.

Ia termasuklah Bandar Malaysia, HSR menghubungkan Singapura, bangunan Merdeka PNB118, klia2, Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dan Kereta Api Transit Laju Massa (MRT) beserta Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ini boleh disifatkan semua pemimpin utama negara akan meninggalkan legasi. Sama ada legasi itu dapat bertahan lama atau ia ditinggalkan apabila kuasa beralih tangan, hanya sejarah yang menentukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *