Umat Islam Ditegah Mengundi Pemimpin Yang Tidak Menyokong Akta RUU355

KUALA LUMPUR – Umat Islam ditegah mengundi pemimpin yang tidak menyokong Akta Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 meskipun calon yang bertanding itu adalah orang Islam.

Demikian tegas Presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Zamihan Mat Zain Al-Ghari apabila menyifatkan menyokong pemimpin yang tidak membantu menegakkan hukum Allah sebagai berdosa.

“RUU 355 ini undang-undang Islam bukan liberal atau sekular. Jadi kenapa kita sebagai orang Islam harus menolaknya.

“Kenapa sebagai ahli parlimen undang-undang British mereka sokong, sedangkan undang-undang Islam tidak?

“Ahli Parlimen jenis apa kalau macam itu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Menurut Zamihan, ahli-ahli parlimen sepatutnya membawa amanah Allah dan nabi dan pengundi pula telah memberi amanah itu kepada mereka.

Justeru katanya, bagi pengundi yang sudah tahu bahawa ahli Parlimen yang pernah diundinya itu tidak menyokong hukum Islam bermakna mengundinya kembali pada pilihan raya akan datang merupakan satu perbuatan haram dan berdosa.

“Tidak kiralah sama ada calon itu datangnya dari parti apa sekali pun menyokong orang zalim terhadap agama Allah harus ditentang habis-habisan.

“Apatah lagi kalau calon itu adalah orang kafir yang terang-terang menolak hukum Allah ini dilaksakan,” ujarnya lagi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang minggu lalu membentangkan RUU 355 di Parlimen yang bertujuan meminda akta bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah termasuk meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas umat Islam yang berzina dan minum arak.

Perbahasan RUU 355 yang sepatutnya diadakan selepas pembentangan itu terpaksa ditangguhkan pada sesi akan datang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ekoran provokasi melampau Ahli Parlimen Pakatan Harapan dalam membantah RUU 355.

Pakatan Harapan yang diketuai parti sekular DAP bersama anggotanya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Amanah Negara (PAN) menentang hebat usaha tersebut sejak tahun lalu.

DAP pernah mendakwa RUU 355 merupakan strategi halus Pas untuk melaksanakan hukum Islam hudud yang zalim, kuno dan tidak bertamadun di negara ini.

PKR dan PAN pula mendakwa RUU 355 tidak boleh dibenarkan kerana ia mengelirukan dan menimbulkan keresahan umat bukan Islam. – mg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *