Umat Islam Ditegah Sama Sekali Mempertikaikan Zat Allah, Ia Boleh Jadi Murtad – Mufti Perak

IPOH – Muft Perak, Tan Sri Harussani menegaskan umat Islam ditegah sama sekali mempertikaikan zat Allah kerana perbuatan sedemikian boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kafir dan murtad.

Bahkan, kata beliau, jika mati pun tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan Islam walapun namanya seorang Islam.

“Orang yang murtad itu terkeluar daripada Islam, bahkan mati pun tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan Islam walaupun namanya Zabedah ke atau Fatimah ke,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Islam di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kontroversi yang dibuat Siti Kasim sejak akhir-akhir ini terutama kenyataannya yang disiarkan portal berita bertajuk ‘Melalui Getaran, Kita Menghasilkan Tuhan’.

Harussani menasihati Siti Kasim supaya tidak mengulas urusan agama terutamanya berkenaan Tauhid sekiranya dia (Siti Kasim) tidak mengetahui mengenainya.

“Jadi kalau kita menyifatkan Tuhan itu sama dengan makhluk atau terjadi dari makhluk, maka kita sudah jadi kafir sudah murtad daripada Islam.

“Nasihat saya, tak usahlah campur dalam urusan agama apa yang kita tidak tahu. Belajarlah. Kita telah dilahirkan sebagai orang Islam cukup beruntung, pelajari Islam yang telah dibawa oleh bapa dan mak kita dan kita pertahankan agama Allah,” ujarnya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dikatakan akan memanggil aktivis sosial yang juga peguam, Siti Kasim untuk memberi keterangan sebelum mengambil tindakan berhubung kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini kerana disifatkan mengelirukan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bagi tindakan undang-undang akan diserahkan kepada pihak berkuasa kerajaan negeri khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam mengikut peruntukan yang bersesuaian termasuk berkaitan akidah. – aw

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *