Zairil Janji Akan Selesaikan Masalah Sendiri Selepas Mengadap Lim Guan Eng

20/04/2017 – Susulan tular gambar pasangan yang hampir menyerupai dua ahli DAP Melayu berprofil tinggi, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengatakan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari akan menyelesaikan skandal peribadi ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Kota itu berkata, Zairil sudah memberi penjelasan kepada beliau dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam berhubung laporan akhbar yang mengaitkan Zairil dengan gambar-gambar yang disebarkan di media sosial.

“Zairil sudah memberi penjelasan kepada saya dan Lim Guan Eng semalam berhubung laporan akhbar yang mengaitkan beliau dengan foto-foto yang disebarkan di media sosial,” katanya.

Chow berkata, ini dilihat sebagai “serangan peribadi” terhadap Zairil jadi Zairil telah diminta untuk menangani keseluruhan isu peribadi buat masa sekarang.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kepada penyebaran baru-baru ini gambar pasangan yang hampir menyerupai Zairil dan pemimpin muda DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Beberapa hari lalu, gambar intim yang menyerupai Zairil dan Dyana telah dikongsi secara meluas dalam talian dan juga disiarkan dalam akhbar.

Gambar-gambar yang menjadi tular itu memaparkan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah restoran, di mana sekeping daripadanya menggambarkan pasangan itu sedang bercumbu.

Ini bukan kali pertama, gambar-gambar yang didakwa memaparkan pasangan itu timbul. Bulan lalu, video pasangan yang juga menyerupai Zairil dan Dyana menari berdekatan di kelab malam juga disebarkan di dalam talian.

Semalam, Zairil menafikan bahawa beliau adalah lelaki dalam gambar berkenaan. Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, gambar-gambar yang tular itu satu lagi percubaan untuk memfitnah beliau dengan “serangan peribadi”.

“Bukan, itu bukan saya. Ia jelas satu lagi percubaan untuk memfitnah saya dengan serangan peribadi. Ia adalah palsu,” kata Zairil dalam satu kenyataan.

Manakala, Dyana pula masih belum mengesahkan atau menafikan jika sesungguhnya beliau adalah individu yang dirakamkan tersebut.

“Ini adalah serangan peribadi ketiga dalam tempoh dua bulan, saya anggap pilihan raya umum dah nak dekat.

“Tak kira siapa dalam gambar dan video-video yang didakwa adalah saya, ini pencerobohan privasi dalam hidup orang itu.

“Saya sedih budaya politik kita telah sampai ke tahap ini,” kata Dyana dalam satu kenyataan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *