10 pelajar terbabit kes buli di MRSM Parit digantung sekolah.

PARIT – Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini menjadi mangsa buli apabila dipukul oleh 10 senior mereka kerana mangsa enggan meminjamkan kasut bola, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kes itu membabitkan mangsa yang kesemuanya berusia 14 tahun yang dipukul pelajar senior berumur 15 dan 16 tahun.

Menurut Mohamad Zainal, pihaknya menerima enam laporan polis mengenai kes buli itu pada 6 Mei lepas.

“Setakat ini tiada kecederaan serius dilaporkan, malah 10 pelajar yang terlibat telah digantung sekolah. Kita juga telah merakam percakapan daripada 10 suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 147 kerana mendatangkan kecederaan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, polis telah mengambil tindakan berlandaskan undang-undang manakala pihak sekolah juga telah memberi kaunseling kepada kesemua pelajar yang terlibat. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *