3 Anggota Polis Ditahan SPRM Kerana Minta Rasuah RM500

BUKIT MERTAJAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 3 anggota polis kerana meminta dan menerima rasuah daripada seorang pemandu kenderaan sebanyak RM500.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abdul Aziz Aban berkata, seorang koperal dan 2 lans koperal berusia 26 hingga 28 tahun itu ditahan pukul 4 petang serta 11 malam tadi ketika sedang bertugas di Balai Polis Seberang Jaya, di sini.

“Berdasarkan siasatan, mereka meminta rasuah daripada seorang pemandu kereta yang melakukan kesalahan memandu kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, 3 anggota polis itu direman selama 6 hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Abdul Aziz berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau 5 kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *