3 model baru dari Modenas bakal kuasai pasaran tempatan.

MODENAS melancarkan tiga model baru untuk pasaran tempatan hasil kerjasama dengan Bajaj Auto Limited (BAL) pengeluar motosikal dari India yang juga terbesar di rantau ini.

Model itu ialah Pulsar NS200 dalam segmen ‘naked street bike’, Pulsar RS200 (race bike) dan V15 (cafe racer) yang juga berada di pasaran 74 negara di Amerika Latin, Timur Tengah dan Asia Selatan.

NS200 dan RS200 dijana enjin 199cc, SOHC, empat lejang, penyejukan cecair silinder tunggal manakala model V15 dengan enjin 150cc gaya neo klasik.

Ketua Pegawai Operasi Automotif, Kejuruteraan, Pembuatan dan Pengedaran DRB-Hicom Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, kerjasama itu membolehkan Modenas menembusi ke pasaran segmen baru motosikal tempatan.

“Usaha sama ini dimulakan secara berperingkat dan bakal menyaksikan pelancaran beberapa model lagi dalam beberapa tahun akan datang untuk menawarkan lebih pilihan kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika pelancaran di Shah Alam, hari ini.

Harga jualan asas untuk V15 ialah RM5,650, NS200 (RM8,700) dan RS200 (RM10,700).

Sesi tunggang uji disediakan di DRB-Hicom Autofest 2017 pada 19 hingga 21 Mei ini di Glenmarie, Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *