Abang maut dihentak dengan alat pemadam api oleh adik sendiri.

SEBERANG PERAI – Dua beradik yang bergaduh melibatkan tanah pusaka berakhir dengan tragedi apabila si abang mati dipercayai dibunuh adiknya dengan menggunakan alat pemadam api di Kampung Sama Gagah, Bukit Mertajam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, dalam kejadian pada pukul 7.50 pagi, mangsa, Lim Poh Hau, 59, didapati telah mati ketika pihak polis tiba di lokasi kejadian.

“Mangsa dikatakan telah pergi ke rumah suspek berusia 48 tahun dengan menaiki motosikal sebelum melanggar kaki kiri suspek hingga mencetuskan kemarahannya.

“Selepas itu, berlaku pergelutan antara kedua-dua mereka sebelum suspek mengambil alat pemadam api dan me­nyembur ke muka mangsa,” katanya ke­tika dihubungi Kosmo! semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati jarak rumah mangsa dengan kediaman suspek ialah kira-kira 20 meter.

Nik Ros Azhan berkata, terdapat kesan hentakan benda tumpul pada belakang kepala mangsa selain kecederaan pada kedua-dua belah lutut dipercayai kerana terjatuh selain luka pada jari kanan.

“Pertengkaran itu turut menyebabkan suspek cedera pada betis kiri selain terdapat kesan kemerahan pada mata kiri,” kata­nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *