Benarkah telan belon mampu cegah gemuk?

Lisbon: Menelan belon mampu membantu pesakit obes menurunkan berat badan dalam hanya empat bulan apabila ia mengembang di dalam perut jika ditelan bersama air.

Alat dikenali sebagai Elipse itu yang membuat mereka yang memakannya merasa kenyang dan ia mampu menjadi alternatif kepada pembedahan pintasan gastrik yang mahal, kata pakar.

Elipse adalah belon gastrik pertama yang boleh dimasukkan dan dikeluarkan tanpa menggunakan anestetik atau pembedahan.

Kajian terhadap 42 pesakit yang dibentangkan semalam di Kongres Obesiti Eropah di Portugal menunjukkan pesakit yang obes teruk menggunakan Elipse dan berjaya menurunkan berat badan secara purata 14 kilogram (kg) atau hampir sepertiga daripada berat badan berlebihan mereka.

Kajian itu dilakukan oleh Universiti Sapienza Rom.

Menurut doktor, menelan belon lebih mudah untuk pesakit selain jauh lebih murah dengan kos antara RM12,300 hingga RM19,000.

Proses menelan dan mengisi belon itu dengan air mengambil masa cuma 15 minit dan boleh dilakukan hanya oleh pakar pemakanan.

Selepas empat bulan, ia akan pecah dengan sendirinya sebelum keluar dari badan secara semula jadi tanpa perlu menjalani pembedahan.

Pesakit yang dikaji mempunyai berat badan purata 107kg pada awal kajian.

Dr Roberta Ienca yang mengetuai kajian itu berkata: “Kami memerhatikan peningkatan dalam kesihatan metabolisme secara keseluruhannya termasuk bagi tekanan darah, tahap kolesterol dan kawalan gula dalam darah.

“Reaksi pesakit amat luar biasa, semuanya gembira dengan hasil eksperimen ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sikap pesakit juga penting dan mereka perlu dipujuk mengurangkan jumlah makanan selain meningkatkan senaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *