Bintang bolasepak wanita digantung seumur hidup kerana bergusti atas padang

SEORANG bintang bola sepak wanita Bosnia digantung seumur hidup gara-gara tindakan ganasnya memukul pemain lawan.

Silvija Sekacic yang merupakan pemain kelab Zeljeznicar didapati bersalah menyerang pemain Mladost, Adnu Ljubanovic ketika kedua-dua kelab itu bertemu baru-baru ini.

Dalam aksi ganas itu, Sekacic menjatuhkan Ljubanovic sebelum dia memukul mangsa berulang kali sebelum rakan sepasukannya dan pegawai perlawanan campur tangan untuk meredakan keadaan.

Walaupun dilayangkan kad merah atas perbuatannya itu, Sekacic tidak menunjukkan sebarang reaksi bahawa dia menyesal dengan perbuatan itu.

“Kad merah? Sekurang-kurangnya saya dapat memukulnya,” kata pemain tersebut.

Susulan kejadian itu, Mladost mengeluarkan kenyataan untuk menggesa Sekacic dihukum gantung seumur hidup dan Persatuan Bola Sepak Bosnia-Herzogovina menyatakan kejadian itu sebagai kesalahan yang amat serius.

“Sukar untuk menggambarkan perbuatan (Sekacic) dan melupakannya. Cukup-cukuplah.

“Pemain seperti Sekacic tidak layak bermain bola sepak dan memang wajar digantung seumur hidup,” jelas kenyataan tersebut.