CheguBard dedah punca sebenar Azmin Ali bercelaru di Selangor.

Bekas ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin berkata, kedudukan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali tidak akan tergugat sekiranya beliau menurut sahaja skrip yang telah dipersetujui beliau selama ini.

Dakwaan Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard, dipercayai menjurus kepada tindakan Azmin yang enggan memecat tiga Exco Pas dalam kerajaan negeri Selangor setelah Pas bertindak memutuskan hubungan dengan PKR, awal bulan ini.

“(Datuk Seri) Azmin bukan pondan tak berani nak pecat Exco Pas tapi dia terikat dengan ‘skrip’ yang dipersetujui…selagi dia ikut skrip dia selamat,” kata Chegubard.

Pentadbiran Azmin dilanda gelombang kuat apabila ada pihak yang berkeras mahu tiga Exco Pas dalam kerajaan negeri itu dipecat atas alasan sudah tidak ada hubungan dengan PKR.

Antaranya Parti Amanah Negara (PAN) yang mendesak Azmin agar segera melakukan rombakan Kabinet dengan mengetepikan Pas dan memberikan jawatan itu kepada parti pimpinan Mohamad Sabu.

Malah bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad turut menjangkakan jawatan yang dipegang oleh tiga pemimpin Pas itu diberikan kepada rakan serpihannya, PAN.

UMNO Selangor turut menganggap Azmin lebih suka ‘bermain wayang’ apabila dilihat teragak-agak memecat tiga exco Pas negeri itu.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar turut mendakwa tindakan Azmin itu membuktikan seolah-olah kedua-dua pihak, baik Pas atau PKR, mempunyai kepentingan peribadi tersendiri.

Ia dapat dilihat apabila kesemua exco Pas berkenaan enggan melepaskan jawatan mereka dan Azmin pula selaku Timbalan Presiden PKR tidak merombak barisan exco negeri itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketiga-tiga exco itu akan meneruskan tugas mereka seperti biasa dan nasib mereka hanya boleh ditentukan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah selaras Perlembagaan Negeri Selangor.

Iskandar memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, manakala Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

Sementara Ahli Dewan Undangan Negeri Templer, Zaidy Abdul Talib memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *