Dadah Estacy dalam serbuk minuman jadi sasaran belia.

Taktik satu sindiket mencampurkan serbuk ekstasi dengan serbuk berperisa buah-buahan dalam peket minuman bagi mengaburi mata pihak polis berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya lima suspek di Puchong di sini pada Isnin lalu.

Kesemua lima suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 17 hingga 21 tahun itu ditahan dalam operasi yang dilakukan di beberapa lokasi sekitar Puchong.

Difahamkan, dadah yang siap dicampur dalam serbuk minuman berperisa itu diperoleh daripada satu sindiket di Pudu, Kuala Lumpur dan penjualan dadah itu disasarkan kepada golongan belia di sekitar daerah Serdang.

Serbuan bermula pukul 11 malam hingga 3 pagi itu dilakukan hasil risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang selepas tertangkapnya se­orang suspek yang juga pelanggan kepada sindiket berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, sindiket itu menggunakan peket label minuman berperisa buah-buahan yang sebenarnya mengandungi dadah jenis ekstasi.

Katanya, serbuk mengandungi dadah itu dijual dengan harga RM350 hingga RM400 satu peket dan suspek dikatakan mendapat untung sebanyak RM50 dengan setiap penjualan.

Difahamkan, setiap satu peket itu mengandungi 10 gram serbuk ekstasi.

Jelas beliau, sindiket itu didapati aktif sejak dua bulan lalu dan mereka meniru bungkusan minuman berperisa buah-buahan itu bagi mengaburi mata pihak polis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *