David Teo Mungkin Dihantar Oleh Pembangkang Untuk Buat Kacau – Ali Tinju

19/05/2017 – Hidup ini perlu adab, jika tidak pasti akan terima padahnya. Itulah padah yang diterima Penerbit David Teo apabila ditampar oleh pelakon Sulaiman Yassin atau pun lebih dikenali sebagai Mat Over ketika sesi bersama selebriti dalam majlis Transformasi Nasional 2050 (TN50) baru-baru ini.

Lebih menggamatkan suasana, tindakan pelakon veteran itu dilakukan di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekaligus menimbulkan suasana riuh rendah seketika. Ketika ini video David Teo ditampar Mat Over sedang hangat diperkatakan di laman sosial.

Sulaiman bertindak sedemikian kerana sikap David Teo yang tidak menghormati perdana menteri dan pelakon Datuk Rosyam Nor selaku moderator di sesi dialog Transformasi Nasional (TN50).

Sulaiman yang tidak kesal dengan tindakannya melempang Teo berkata, ia adalah cara untuk mengajar pengarah itu ‘cara beradab’.

“Saya juga tidak kesal dengan tindakan ini kerana sikap David tidak menghormati Perdana Menteri dan Rosyam selaku moderator. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia perlu ada adab dan hormat-menghormati,” kata Sulaiman.

Terus hangat diperkatakan, pembangkang mungkin adalah dalang di sebalik kehadiran David Teo bagi membuat kacau pada sesi dialog TN50 yang diadakan di Seri Perdana. Itulah yang didakwa oleh bekas tentera, Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali dengan nama Ali Tinju.

Ali Tinju turut mendakwa bahawa David Teo adalah tali barut parti rasis dan cuavinis DAP dan beliau bertanggungjawab dengan kenyataan itu.

“Saya lihat isu malam tadi, saya nak pertikaikan kehadiran David Teo seolah-olah pemimpin tak bertanggungjawab, DAP yang cuba bayar David Teo buat kacau dalam program yang amat baik.

“Kalau orang berakal tak buat cara malam tadi tapi dia nak jadi hero, kalau dia profesional dia angkat tangan (untuk tanya soalan).

“Saya minta supaya polis segera siasat David Teo yang mungkin upahan pembangkang mungkin upahan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, mungkin Tun (Dr) Mahathir (Mohamad).

“Jika David tidak berpuas hati dengan kenyataan Ali Tinju, saya minta dia bawa ke mahkamah untuk kita teruskan pengadilan di mahkamah dan saya sedia untuk dibawa ke mahkamah,” kata Ali Tinju pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju semalam.

Malah Ali Tinju turut menggesa pihak berkuasa untuk mengharamkan filem arahan dan terbitan Teo daripada disiarkan di televisyen sebagai memberi pengajaran kepadanya.

Selain itu, Ali Tinju mengatakan belaiu akan bertemu dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi menghantar memorandum supaya gelaran ‘mejar kehormat’ yang disandang oleh David Teo ditarik serta merta.

“Saya minta pihak berkuasa untuk mengharamkan filem yang dibuat David untuk ditayang di TV.

“Kita minta rakyat supaya bersetuju David dikenakan tindakan supaya beliau berubah dan bertaubat dan tidak membuat satu perkara yang meyinggung perasaan orang lain,” kata Ali Tinju yang turut menyokong tindakan Sulaiman. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *