Fauziah Ahmad Daud Akan Gegarkan Pentas ABPBH 3.0

Selain tumpuan kepada pemenang setiap kategori dipertandingkan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, segmen persembahan pada malam kemuncak juga pastinya ditunggu ramai.

Berdasarkan penganjuran terdahulu, artis yang muncul di pentas mengadakan persembahan menjadi antara tarikan utama malam penuh gemilang berkenaan, selain bintang yang memeriahkan acara sebagai penyampai trofi.

Malam kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia itu pastinya tidak lengkap tanpa kehadiran hos yang bakal mengendalikan acara.

Bagi edisi ke-30, ABPBH sekali lagi mengundang bintang hebat, Fauziah Ahmad Daud, untuk melaksanakan tugas berkenaan.

Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy, selain muncul antara pemenang terawal ABPBH, pernah beberapa kali bergelar pengacara anugerah terbabit. Jenaka spontan dan bersahajanya tidak pernah gagal menggeletek hati khalayak.

Bersama artis ternama itu di pentas kelak ialah bekas personaliti radio terkenal, Faizal Ismail, dan bakat serba boleh, Zulin Aziz.

Bagi menghangatkan segmen persembahan, penganjur membariskan bintang baharu dan lama seperti Search, Noraniza Idris, Dayang Nurfaizah, Mawi, Haiza, Syamsul Yusof, Altimet, Elly Mazlein, Ayda Jebat, Asmidar, Khai Bahar, Tajul dan Salma.

Penonton juga bakal dihidangkan dengan sebuah segmen kejutan yang pastinya menggegarkan lagi malam kemuncak anugerah hiburan berkenaan.

Sementara itu, Mawi yang pernah memenangi anugerah Bintang Paling Popular ABPBH sebanyak tiga kali, akan menaiki pentas sebagai penyampai trofi.

Bintang lain yang turut diberi penghormatan menyampaikan anugerah kali ini ialah dua lagi pemenang gelaran tertinggi itu, Datuk Rosyam Nor dan Neelofa, serta artis yang pernah mengendalikan acara terbabit sebelum ini, Raja Azura dan Sharifah Shahira.

Bintang lain yang akan menyampaikan trofi ialah Nabila Huda, Farid Kamil, Liza Abdullah, Fazlina Ahmad Daud dan Puteri Aishah.

Bertemakan Futuristik, malam kemuncak ABPBH 3.0 akan disiarkan secara langsung oleh TV3. – bho

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *