Generasi Muda Dakwa Pekerja Asing Hanya Layak Sapu Sampah Di Malaysia

19/05/2017 – Isu sebenar pengangguran di Malaysia adalah golongan yang terlalu memilih kerja. Memang tidak dinafikan ada kes-kes pekerja yang diberhentikan atau tempat kerja mereka ditutup, tetapi masih terdapat banyak lagi peluang pekerjaan yang ditawarkan setiap hari.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara pada tahun lepas, golongan belia merupakan peratus tertinggi dalam kelompok penganggur. Apa yang lebih mengejutkan, dapatan kajian tersebut mendapati pengangguran di kalangan siswazah lebih tinggi daripada bukan siswazah.

Bagi mengatasi masalah pengangguran, kementerian yang berkenaan seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementeraian Belia dan Sukan telah pun mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan keboleh pasaran graduan dengan program Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M).

Tak cukup dengan itu, Perdana Menteri sendiri memberi fokus kepada kepada ekonomi digital Malaysia dengan melantik Jack Ma sebagai penasihat kepada Kerajaan dalam perkara tersebut.

Namun masih ada segelintir pihak yang mencari alasan bahawa masalah pengangguran ini didakwa kerana pekerja asing yang ada di negara ini.

Seorang peserta yang mewakili Gerakan Belia 4B Pasar Seni, Fatin Syafawati Cik Osman pada dialog Transformasi Nasional 50 (TN50) peringkat kawasan Bukit Bintang yang di Dewan Auditorium Alyas Omar, Perpustakaan Kuala Lumpur malam tadi mendakwa peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat negara ini semakin mengecil berikutan kebanjiran pekerja asing yang tidak terkawal.

Ini kerana hasil pemerhatiannya, pekerja asing yang mencari nafkah di negara ini bukan sahaja terdiri daripada buruh kasar malah ada yang menjadi majikan kepada rakyat tempatan.

Katanya, perkara tersebut memberi kesan tidak sihat kepada rakyat negara ini, memandangkan masih banyak keluhan daripada graduan yang gagal mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian.

Justeru, beliau yang bekerja sebagai pegawai eksekutif di salah sebuah organisasi tempatan itu mahu kerajaan mengehadkan warga asing yang bekerja di negara ini, untuk bekerja dalam bidang kerja Dirty, Difficult & Dangerous (3D) sahaja.

“Memandangkan negara kita ni bakal mencapai status negara maju, saya harap dapatlah kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada para graduan kita, seiring dengan graduan yang ada.

“Memandangkan apa yang saya lihat, warga asing sekarang ni bukan saja bekerja dalam 3D, tapi ada yang jadi bos. Ini tidak adil kepada rakyat Malaysia sendiri, sedangkan ramai lagi graduan kita yang menganggur.

“Saya juga mengharapkan warga asing dapat dikawal. Maksudnya, warga asing boleh bekerja di negara kita, tapi dalam sektor (3D) sahaja, maksudnya yang kutip sampah, tukang sapu dan pembinaan. Dengan ini, dapat memberi peluang kerja kepada rakyat Malaysia,” kata Fatin. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *