Isteri Kedua Sihir Suami Sendiri Sampai Mati

23/05/2017 – Terdapat berbagai cara sihir yang di lakukan oleh orang-orang yang dengki tersebut, supaya matlamat yang mereka impikan tercapai, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak serta bersusah payah memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Tok Bomoh tersebut untuk menjayakan penganiayaan mereka.

Selain senjata utama kita ialah sentiasa memohon perlindungan dari Allah, saya menggalakkan agar jadikanlah ayat-ayat ruqyah sebagai zikir amalan harian, dan amalkan enam teknik ini. Ini kerana, dari pengamalan saya sendiri untuk merawat pesakit-pesakit, ayat-ayat ruqyah sangat berkesan sebagai penyembuh dan juga pendinding diri dari kejahatan sihir dengan izin dari Allah. Semoga kita semua dilindungi Allah dari segala kejahatan makhluk-Nya.

Ikuti kisah yang dikongsikan ini tentang pengalaman melihat pelbagai jenis sihir yang telah dihantar oleh seseorang. Paling banyak sihir untuk meruntuhkan rumah tangga.

“Cerita saya ini sangat panjang tetapi saya harap pembaca sudi baca kisah yang saya ingin kongsikan ini. Kisah yang kita semua perlu beri lebih perhatian sama ada di pihak suami ataupun isteri. Sebab walau siapa pun kita, bahaya itu ada di mana-mana. Bahaya yang tidak nampak dengan mata kasar.”

“Kisahnya begini. Seminggu dua ini saya sibuk menguruskan ibu saya yang menghidap penyakit kulit yang dikenali sebagai kayap. Rawatan hospital dapat menyembuhkan penyakit itu dari segi luaran. Namun dalaman tetap sakit sehingga jika ada sesiapa yang menggoreng ikan di dapur, ibu akan berguling-guling kesakitan walaupun kayap hanya tinggal parut sahaja.”

“Disebabkan keadaan ibu seperti itu, kami adik beradik bersepakat membawa ibu berjumpa dengan seorang ustaz yang mahir dalam perubatan alternatif. Dari info yang kami perolehi, sangat sukar untuk membuat janji temu dengan ustaz berkenaan kerana bilangan pesakitnya yang ramai setiap hari.”

“Dipendekkan cerita, akhirnya kami berjaya membuat temujanji dengan beliau. Kami sampai sekitar jam 8.30 malam tetapi kami hanya mendapat giliran sekitar jam 12 tengah malam. Dalam tempoh menunggu itu, kami melihat pelbagai jenis penyakit yang berusaha dibantu oleh ustaz tersebut kerana rawatan dilakukan betul-betul di ruang tamu rumah. Rawatan-rawatan tersebut dilakukan secara percuma. Jika mahu sedekah sekadar seikhlas hati.”

“Selepas ibu saya mendapat rawatan, ustaz meminta kami membawa ibu berjumpa dengan beliau beberapa kali kerana terdapat beberapa prosedur rawatan yang perlu dijalankan. Demi kesihatan ibu, kami sanggup datang berkali-kali dan menunggu dalam tempoh yang lama sebelum tiba giliran kami. Kalau diikutkan hati, memang rasa penat menunggu. Namun, rupa-rupanya di sebalik penat itu ada sesuatu yang Allah mahu tunjukkan kepada kami semua.”

“Kepada pembaca yang dikasihi, bayangkan dalam beberapa hari kami tercogok di situ menanti giliran ibu, kami lihat terlalu banyak kes-kes kesakitan yang melibatkan sihir dan yang paling banyak sihir untuk meruntuhkan rumah tangga orang berbanding sihir-sihir lain seperti sihir perniagaan dan sebagainya.”

“Sepanjang beberapa hari berada di rumah ustaz berkenaan, saya melihat dengan mata kepala saya sendiri bahawa terlalu ramai manusia tamak dan jahat sekarang ini. Memang menitik air mata saya menyaksikan kesakitan-kesakitan tersebut.”

“Ada suami yang sudah terkena nasi kangkang di negara jiran. Kesan nasi kangkang tersebut dibawa balik ke rumah dan terkena pada anak isteri di rumah. Badan anak-anak yang masih kecil habis gatal-gatal dan berdarah-darah kerana digaru tanpa henti. Si isteri pula kurus kering, badan macam lidi. Tetapi apabila mengambuk, habis 4 orang lelaki sasa rebah dengan sekali tepis sahaja.”

“Kata ustaz, perempuan negara jiran yang bagi makan nasi kangkang itu sangat terdesak mahukan si suami yang nampaknya berada. Maka sihir yang dikirim melalui si suami bertujuan untuk memusnahkan keluarga itu agar dia dapat memiliki lelaki berkenaan. Mujur si suami cepat tersedar dan berusaha mengubati kembali isteri dan anak-anak mereka.”

“Ada juga satu kes yang melibatkan pelajar perempuan berusia 15 tahun yang sangat cantik dan digilai lelaki warga asing berusia 18 tahun. Akibatnya gadis berkenaan menjadi separuh gila. Meracau, menyanyi, bercakap seorang diri, memaki hamun sesuka hati dan sebagainya. Kata si ibu, anak gadisnya yang pemalu itu berubah sikap setelah menerima beberapa pesanan WhatsApp yang sangat pelik ayat-ayatnya.”

“Yang paling menyedihkan, seorang pegawai polis yang beristeri dua. Isteri pertama warga tempatan dan isteri kedua warga asing. Apabila berlaku pertelingkahan, masing-masing tidak mahu mengalah. Kata wanita seberang itu, “Jika aku tidak dapat, maka kamu juga tidak akan dapat.”

“Lalu kaedah santau digunakan kepada suami sendiri sehingga pegawai polis berkenaan muntah darah, kaca dan sebagainya. Beberapa hari kemudian,anggota polis berkenaan meninggal dunia. Banyak lagi cerita yang saya dapat sepanjang 2 minggu berulang alik ke rumah ustaz. Tetapi cukuplah setakat ini yang saya dapat kongsikan. Cuma pesanan ustaz kepada para pesakit, berhati-hati bila makan. Jangan makan pemberian orang sesuka hati.”

“Jangan bagi harapan kepada wanita atau lelaki lain jika kita sudah berkeluarga. Niat kita mungkin untuk suka-suka tetapi apabila ada pihak yang terluka, mesti mereka akan balas dendam kepada isteri/suami dan anak-anak. Perempuan dan kanak-kanak lebih mudah terkena sihir kerana sifat mereka yang lemah. Jadi, suami perlu lebih berhati-hati kerana berfoya-foya di luar sehingga membawa pulang musibah kepada isteri dan anak di rumah sama seperti kes nasi kangkang tadi.”

“Dekatkan diri kita dengan Allah. Jangan tinggal solat dan mesti hafal surah-surah tertentu sebagai pendinding seperti surah Al-Falaq. Jadi sama-samalah kita berdoa semoga diri kita dan keluarga dilindungi dari dunia hingga ke syurga,” tulisnya. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *