Isteri Untuk Disayangi Bukan Untuk Dipukul

18/05/2017 – “Isteri untuk disayangi bukan untuk dipukul. Kalau tak boleh sayang, lepaskan,” mungkin itu kata-kata yang sesuai diberikan pada suami yang suka memukul isteri.

Sememangnya ada suami yang masih dayus memukul isteri dan merasakan isteri dan anak adalah satu beban untuk mereka. Sebenarnya apa yang dianggap beban itu adalah tanggungjawab seorang suami. Sepatutnya kaum wanita ataupun lebih tepat, kaum isteri sentiasa dihargai oleh si suami bukan dijadikan tempat melepaskan amarah.

Kisah ini dikongsikan oleh seorang isteri yang telah menjadi mangsa pukul dan dera oleh suaminya. Sudah setahun berkahwin dia sering kali dipukul oleh suami.

“Saya ingin meluahkan apa yang saya lalui hari ini. Hari ini suami saya telah memukul saya. Sampai badan dan kepala saya semua rasa sakit sangat tak tahan. Saya dipukul cuma kerana saya tak bagi kunci pintu bilik yang dia minta.”

“Pada mulanya saya mengajak dia pergi membeli barangan rumah. Dia boleh cakap orang yang hidup dari duit mak bapak tak akan rasa susah nak cari duit. Orang yang cari duit sendiri akan tahu kesusahannya. Saya tahu dia cakap tentang keluarga saya.”

“Dia cakap saya suka habiskan duit dia. Untuk pengetahuan semua saya ini suri rumah, lepas kahwin dia cakap tak perlu kerja. Saya ini jenis dah biasa kerja tapi saya ikutkan juga dia sebab dia suami. Bila tak kerja nak beli apa-apa semua susah. Kita perempuan mesti teringin tapi saya pendam semua, semuanya.”

“Kalau saya minta duit pun cuma untuk makan saja. Itu pun suami saya boleh cakap saya ini suka habiskan duit dia, dah kahwin saya tak ada anak. Saya tahu dia pandang rendah pada sy tapi saya sabar. Setahun kahwin saya dah banyak kena pukul dengan dia.”

“Lepas itu dia janji tak akan pukul lagi, tapi hari ini dia pukul saya balik semata-mata kerana saya tak bagi kunci bilik yang saya nak duduk untuk tenangkan perasaan. Dia kata rumah ini sewa dia bayar saya tak ada hak. Salah ke saya nak tenangkan fikiran hati saya yang dia hancurkan macam itu, sakit sangat dan terlalu sakit.”

“Awak, saya tak tahu awak baca ke tak. Tapi saya rasa saya bukan tak layak untuk awak. Awak selalu cakap awak menyesal kahwin dengan saya jadi saya rela dilepaskan. Hati saya tak akan sakit dengan panggilan isteri derhaka awak itu lagi. Selalu cakap saya ini tak berterima kasih.”

“Kalau saya tak berterima kasih tak adanya saya sabar dengan pukulan dan makian awak. Saya tahu saya selalu sakit-sakit dan tak dapat bagi anak dan saya rasa dah sampai masa saya pergi dari hidup awak. Ya Allah. aku tidak mampu lagi bertahan,” tulisnya. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *