Isu Exco PAS Selangor : ‘Biarlah Azmin Memberikan Komen Dahulu’ – Guan Eng

GEORGE TOWN – ‘Biarlah beliau (Azmin) memberikan komen dahulu.’

Itu adalah kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika diminta mengulas mengenai keputusan Pas yang memutuskan untuk mengekalkan tiga orang exconya di dalam Kerajaan PKR Selangor.

Guan Eng berkata, beliau akan mengulas mengenai perkara itu selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat kenyataan berhubung keputusan tersebut.

Ujarnya tidak manis baginya untuk mengulas mengenai isu berkenaan terlebih dahulu.

“Saya rasa kerana Azmin masih berada di luar negara, sepatutnya lagi baik kalau beliau memberikan komennya dahulu.

“Lagipun, ini negeri beliau. Biarlah beliau komen dahulu, saya akan komen kemudian,” katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini berkata, tiga exco Pas di Selangor perlu melepaskan jawatan dalam pentadbiran negeri selepas Pas memutuskan hubungan Tahaluf Siyasi dengan PKR minggu lepas.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undang Negeri kali ke 13 di George Town pada Jumaat.

Pada Khamis, Mesyuarat Khas Pas memutuskan tiga Exco Pas dalam Kerajaan Selangor akan terus kekal dalam pentadbiran selagi tiada arahan dari pihak istana untuk berundur.

Tiga exco PAS di Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Dr Ahmad Yunus (Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi) serta Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Pada 11 Mei, Majlis Syura Ulama memutuskan PAS menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, selepas Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah bulan lepas meluluskan usul supaya pimpinan tertinggi parti menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti apabila PKR dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka. – aw

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *