Isu-Isu Yang Sering Dikaitkan & Menjadi Persoalan Mengenai Ibu Susuan

Oleh Masturah Abu Bakar

Dalam kehidupan ini, sudah pasti kita banyak berdepan dengan perosalan, atau kemusykilan mengenai sesuatu perkara, yang mana jika tidak difahami dengan sebetulnya, ia mungkin memberi kesan kepada masa hadapan.

Begitu juga dengan hal agama, yang mana seharusnya difahami sebaik mungkin, dari segi hokum dan syarak, agar kekeliruan dapat dibendung.

Mungkin ada di antara kita di luar sana, yang masih mempunyai kekeliruan akan isu, serta hokum mengenai anak, dan ibu susuan.

Menerusi perkongsian dari Puan Masturah Abu Bakar yang menulis kembali akan isu ibu susuan menerusi laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ia sedikit sebanyak memberi kefahaman, juga penerangan yang jelas akan perihal ibu susuan.

Mari kita baca perkongsian ini.

Salam. Saya mengambil perhatian beberapa isu tentang susu ibu dan berikut merupakan penjelasan oleh Mufti Wilayah Persekutuan melalui siri Bayan Linnas:

ISU 1: MAHRAM

Apakah kesan memberikan susu ibu kepada bayi yang bukan anak kandung?

Jawapan:

Pemberian susu kepada anak susuan memberikan kesan kepada hubungan kekeluargaan iaitu golongan yang haram dikahwini termasuklah:

a. Ibu susuan ke atas (nenek dan sebagainya).
b. Anak perempuan ibu susuan dan ke bawah.
c. Saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa.
d. Ibu saudara sebelah bapa dan ibu saudara sebelah ibu, sekalipun jauh hubungan persaudaraannya.
e. Anak perempuan kepada saudara lelaki seibu sebapa, seibu atau sebapa.
f. Anak perempuan kepada saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa.

Melalui senarai ini boleh difahami bahawa kesan mahram sangat serius sebagaimana hubungan dengan ibu kandung.

Oleh itu ada beberapa perkara yang perlu diteliti oleh ibu susuan dan ibu bapa bagi anak susuan iaitu:

1. Perlulah ibu bapa anak susuan mengenali ibu susuan dengan rapat. Tidak semestinya selalu berjumpa. Buat rutin ziarah sekali atau dua kali setahun terutamanya ketika keluarga yang ramai berkumpul supaya dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat.

2. Ibu bapa anak susuan perlu menceritakan dengan terperinci hubungan anak mereka dengan ibu susuan. Silaturrahim perlu disambung sehingga anak dewasa supaya tidak berlaku kekeliruan sehingga menyebabkan anak terkahwin dengan mahram sendiri.

ISU 2: PERGAULAN

Soalan: Bolehkah bergaul dengan anak susuan?

Jawapan: Semua perkara yang halal di kalangan keluarga kandung adalah halal kepada keluarga kerana susuan. Contoh:

a. Melihat saudara perempuan susuannya, sebagaimana saudaranya sendiri.
b. Tinggal bersendirian dengannya atau khalwat yang haram antara lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai hubungan keturunan.
c. Bermusafir dengannya melebihi tiga hari.

ISU 3: SYARAT MENJADI ANAK SUSUAN

Soalan: Apakah syarat seseorang bayi menjadi anak susuan?

Jawapan: Terdapat 2 syarat untuk membolehkan seseorang itu menjadi anak susuan yang sah menurut syarak iaitu:

1. Umur bayi belum mencapai 2 tahun. Sekiranya sudah mencapai 2 tahun tidak dikira sebagai anak susuan.

2. Kanak-kanak itu disusu kenyang sebanyak lima kali yang berasingan. Sesuatu penyusuan itu dianggap berasingan atau tidak berdasarkan pandangan umum. Jika anak tersebut berhenti menyusu kerana kenyang, ia dianggap sebagai sekali susu.

Tetapi, jika anak itu berhenti menyusu kerana bermain-main seketika dan kemudian menyusu semula atau bertukar payudara, maka ia juga dianggap sekali susu sahaja.

Dikira sebagai satu susuan adalah apabila bayi tersebut menyusu dan kemudiannya melepaskan dari susuan atas pilihannya sendiri (kerana telah kenyang) tanpa ada gangguan yang mendatang.

Terdapat khilaf dalam kalangan ulama tentang bilangan kenyang. Namun tarjih yang diberikan oleh Muzakarah Fatwa ialah hanya EMPAT KALI kenyang.

ISU 4: CARA MEMBERI SUSU

Soalan: Bolehkah memberi susu ibu susuan melalui botol?

Jawapan: Majma Fiqh Islami berpandangam perantaraan untuk meneguk susu tidak diambil kira kerana pada pandangan ulama muktabar, `illat (punca) hukum penyusuan ialah sampainya susu ke dalam perut bayi (walau dengan apa jua cara).

Oleh itu apabila susu sampai ke dalam perut bayi melalui perantara seperti botol, sudu, picagari dan sebagainya, cara tersebut juga dikira sebagai memberi susu. Boleh diberi menggunakan cara selain direct feeding namun hendaklah dipastikan bayi diberikan susu tersebut sehinggalah bayi kenyang.

Para ulama telah bersepakat bahawa telah sabit anak susuan dengan hisapan mulut melalui cara yang lain seperti melalui hidung. Cara ini juga dianggap sebagai anak susuan seperti pandangan Dr. Wahbah al-Zuhaili asalkan cukup bilangan kenyang.

Seseorang bayi itu sah sebagai anak susuan sama ada melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tidak langsung. Juga berdasarkan hadis riwayat Abu Daud:

Maksudnya:

“Daripada Ibn Mas`ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.”

ISU 5: BAYI BERKEPERLUAN

Muzakarah Fatwa juga memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain.

Sekiranya seseorang bayi memerlukan bekalan susu, syaratnya yang dicadangkan oleh Dr Wahbah Azzuhaili ialah bagi bank susu ialah:

1. Hendaklah susu itu diberikan kepada anak-anak oleh seorang wanita sahaja dan tidak bercampur aduk agar tidak bercampur nasab apabila ia memberikan susu lebih dari lima kali yang mengenyangkan.

2. Hendaklah pihak pengurusan bank susu itu mengeluarkan sijil “Ibu susuan” agar ia mengetahui ibu susuan dan saudara susuannya.

(Tambahan dari saya) Dalam konteks ini, sekiranya beberapa orang sukarelawan mendermakan susunya kepada seorang bayi, hendaklah ibu bapa bagi anak tersebut melakukan perkara berikut:

1. Keluarkan surat hitam putih khusus yang menyatakan bahawa anak mereka telah menyusu dengan ibu-ibu tertentu. Sekiranya terdapat 5 sukarelawan, tulislah 5 surat untuk 5 sukarelawan secara berasingan. Contoh surat di ruangan komen.

2. Asingkan dan tag botol/plastik susu mengikut nama sukarelawan. Hal ini penting untuk memastikan bayi telah cukup bilangan kenyang dengan susu sukarelawan tertentu.

3. Walaubagaimanapun, lebih baik mempunyai seorang ibu susuan (sukarelawan) sahaja untuk menjaga maslahah yang lebih besar iaitu nasab dan keturunan.

ISU 6: SUSU DIHANTAR MELALUI KIRIMAN

Soalan: Bolehkah susu ibu dihantar melalui kiriman ekspres, kiriman bas atau pos?

Jawapan: Boleh sekiranya syarat menjadi anak susuan telah dipastikan dengan teliti dan ditepati. Kedua-dua pihak juga harus mencermati hubungan kekeluargaan sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

ISU 7: KEPERLUAN MENDESAK

Soalan: Bolehkah memberikan susu ibu tanpa keperluan mendesak?

Jawapan: Ulama fiqh berpendapat seorang perempuan makruh menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri tanpa sebarang keperluan yang mendesak.

Saya percaya pemberian susu ibu yang dilakukan hari ini oleh sukarelawan susu ibu dilakukan disebabkan keperluan mendesak.

Oleh itu perlulah diberi susu ibu kepada anak susuan dengan mencermati hukum yang berkaitan penyusuan ibu menurut syarak.

Pandangan saya:

*Terdapat uslub untuk mendidik dan menegur amalan orang awam yang berkaitan dengan hukum hakam. Sama ada bertepatan dengan syarak atau bertentangan, hukum asas perlu dijelaskan terlebih dahulu. Kita pendakwah, bukan penghukum.

* Ringkasan di atas bertujuan memudahkan masyarakat awam memahami isu berkaitan penyusuan. Status ini merupakan rumusan penulisan Bayan Linnas oleh Mufti WP. – sk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *