Isu Pengangguran – Pemuda Pakatan Hanya Tahu Hasut Rakyat

18/05/2017 – Sudah menjadi kebiasaan puak pembangkang menunjukkan sikap jahat mereka kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apa jua yang dilakukan kerajaan dan Najib akan dipertikaikan dan diburuk-burukkan kononnya hanya memberi bebanan kepada rakyat.

Itulah sikap jelik puak pembangkang yang sentiasa tidak puas hati dengan kerajaan dan pemimpin negara itu. Tindakan mereka itu dilihat cuba meraih simpati kononnya mereka sebenarnya mempertahankan hak rakyat, sedangkan secara faktanya mereka hanya bercakap berlandaskan nafsu jahat mereka sahaja.

Untuk ‘pancing’ rakyat menyokong mereka, seperti kebiasaan puak ini akan menabur pelbagai janji-janji manis yang kononnya akan dilakukan mereka sekiranya berjaya merampas Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Itulah yang dilakukan Sayap Pemuda Pakatan Harapan baru-baru ini yang menjanjikan sejuta peluang pekerjaan dalam masa lima tahun jika puak pembangkang berjaya merampas kuasa Persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini dapat dilihat apabila Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman mengatakan gabungan itu menyasarkan untuk mencapai matlamat dengan menjadikan ‘kerja kotor’ lebih menarik dan mengurangkan tenaga kerja asing.

“Terdapat 3.3 juta pekerja asing yang sah pada 2016, kami berhasrat untuk mengurangkannya kepada 2.5 juta dalam tempoh lima tahun,” kata Syed Saddiq.

Untuk menyedapkan lagi telinga rakyat yang mendengarnya, Syed Saddiq berkata dengan tawaran gaji yang betul, seorang warga tempatan boleh melakukan dua kerja warga asing.

Walau apa pun, kenyataan Pemuda Pakatan ini dilihat seperti tidak faham isu sebenar pengangguran di Malaysia. Mereka sendiri mengakui bahawa Malaysia ini sememangnya banyak peluang pekerjaan di mana terdapat 3.3 juta pekerja asing.

Kononnya mereka cuba jadikan pekerjaan dengan tawaran gaji lebih menarik, penganggur akan menyertai pasaran kerja tempatan. Persoalannya, benarkah peluang kerja di Malaysia ditawarkan dengan gaji tidak menarik kepada pekerja tempatan?

Jika dilihat masalah utama ketika ini sebenarnya adalah golongan yang terlalu memilih kerja. Memang tidak dinafikan ada kes-kes pekerja yang diberhentikan atau tempat kerja mereka ditutup, tetapi masih terdapat banyak lagi peluang pekerjaan yang ditawarkan setiap hari.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara pada tahun lepas. Golongan belia merupakan peratus tertinggi dalam kelompok penganggur. Apa yang lebih mengejutkan, dapatan kajian tersebut mendapati pengangguran di kalangan siswazah lebih tinggi daripada bukan siswazah.

Maka menjadikan kerja kotor lebih menarik tidak dapat menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan belia kerana ia bukan punca utama.

Ini kerana kementerian yang berkenaan seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementeraian Belia dan Sukan telah pun mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan keboleh pasaran graduan dengan program Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M).

Malah untuk bidang teknikal, sistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional diperkasakan di semua institut latihan di bawah kementerian dan jabatan melalui Pelan Pendidikan Tinggi 2015-2025.

Tak cukup dengan itu, Perdana Menteri sendiri memberi fokus kepada kepada ekonomi digital Malaysia dengan melantik Jack Ma sebagai penasihat kepada Kerajaan dalam perkara tersebut.

Ini kerana Kerajaan sedar bahawa ekonomi digital merupakan bidang baharu untuk golongan belia menjadi usahawan internet. Jadi kepada Pemuda Pakatan, rajin-rajinkan membaca fakta dan data-data kajian.

Bukannya sembrono mengkritik dan menuduh Kerajaan tidak cakna rakyat. Memang mudah menghasut dan menjanjikan bulan dan bintang tanpa berpijak realiti hari ini. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *