Izzue Islam Nak Jadi Komposer Pula

Berhasrat untuk mengembangkan bakat dalam bidang penulisan lagu, penyanyi, Izzue Islam, kini tampil dengan single kedua ciptaan sendiri berjudul Sahabat.

Pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan, 27, bagaimanapun berkata, walaupun mula menghasilkan lagu selain mempunyai dendangan solo, beliau tidak pernah terlintas untuk mengundurkan diri daripada kumpulan Forteen.

Ujarnya, bidang penciptaan lagu diceburinya sekadar mencuba nasib sebagai komposer.

“Saya mempunyai banyak simpanan lagu yang belum diketengahkan, namun tiada keyakinan untuk berbuat demikian. Isteri (Awin Nurin) sebenarnya yang banyak mendorong saya untuk memasarkan lagu terperam di rumah.

“Selepas melancarkan single solo berjudul Bimbang, saya berasa lebih yakin untuk muncul dengan lagu Sahabat ini.

Taruhan kedua ini juga berkongsi genre yang sama seperti solo pertama, pop rock alternatif.

“Alhamdulillah, tidak timbul isu Forteen berpecah, sebaliknya lagu kedua ini sebagai cubaan saya untuk bergerak lebih jauh dalam bidang penulisan lagu,” katanya kepada BH Online.

Selain itu, Izzue memberitahu, lagu Sahabat turut dipilih sebagai runut lagu drama bersiri, Megat Extend, yang mula bersiaran sejak 10 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Izzue kini sibuk di lokasi penggambaran telefilem, Pengemis Itu Saudaraku, yang akan disiarkan menerusi saluran TV3. – bho

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *