Jawatankuasa perundingan ditubuh untuk kes arwah Mohamad Thaqif

PUTRAJAYA – Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru menubuhkan jawatankuasa perundingan bagi memperincikan laporan awal bedah siasat kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, yang dilaporkan dipukul seorang pembantu warden.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata, jawatankuasa itu, yang disertai beberapa ahli dan pakar patologi forensik dari seluruh negara, akan berbincang dan memperhalusi keputusan awal yang dikeluarkan sebelum membuat kesimpulan akhir punca sebenar kematian kanak-kanak berusia 11 tahun itu.

“Perkara itu telah dimaklumkan kepada kementerian dengan jawatankuasa itu mencari kesepakatan tentang punca kes itu sebelum keluar dengan satu keputusan muktamad.

“Sehingga itu, kita perlulah menunggu sebelum perkembangan atau keputusan akhir mengenainya dapat disebarkan kepada pengetahuan umum,” katanya pada sidang akhbar mengenai Kempen ”Mega Mydaftar” di sini, hari ini.

Subramaniam bagaimanapun tidak mendedahkan kandungan laporan awal yang menjadi rujukan perbincangan jawatankuasa itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *