Kekasih dipaksa minum cat hingga mati sebelum dibakar

Bristol, Britain: Seorang lelaki dihukum penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah membunuh kekasihnya dengan memukul dan memaksa mangsa meminum cat sebelum membakar wanita itu hidup-hidup.

Sebuah mahkamah di sini kelmarin menjatuhkan hukuman penjara terhadap Anthony Porter, 33, yang mengaku membunuh Andraya Lyons, 38, pada 10 Disember tahun lalu.

Menurut dokumen mahkamah, Porter membunuh Andraya selepas bertengkar di satu parti Krismas.

Selepas pertengkaran itu, Porter pergi ke rumah Andraya sebelum memukul kepala mangsa dengan seterika.

Porter kemudian memijak kepala Andraya sebelum menuangkan cat putih ke dalam mulut wanita itu.

Tidak cukup dengan itu, Porter menyelit beberapa tin gas di celah peha Andraya sebelum menuang minyak di tubuh wanita itu lalu membakarnya hidup-hidup.

Jiran Andraya yang terhidu bau asap segera menghubungi bomba yang kemudian menemui mayat mangsa yang rentung di ruang tamu.

Pasukan penyiasat juga menemui kesan darah mangsa di seterika, beranda, dinding dapur dan di ruang tamu.

Laporan bedah siasat mendedahkan mangsa mengalami 45 kecederaan pada tubuh, menunjukkan wanita itu dipukul dengan kejam.

Hakim Peter Blair berkata, pembunuhan kejam itu menyebabkan dua anak lelaki Andraya yang berusia lima dan lapan tahun kehilangan ibu pada usia muda.

“Mangsa sepatutnya berasa selamat dengan berada di rumah tetapi kamu memecah masuk dan menyerangnya dengan kejam.

“Kamu dihukum penjara seumur hidup kerana pembunuhan kejam ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *