Kementerian Kesihatan Akan Tingkatkan Pemantauan Ke Atas Produk Kurma

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan meningkatkan pemantauan ke atas produk kurma di pasaran tempatan susulan tular di media sosial buah berkenaan tercemar dengan lipas dan kumbang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan pada Sabtu berkata pengguna disaran membaca label serta mengamalkan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum menikmati makanan bagi mengelak termakan makanan yang rosak atau tercemar.

“Kementerian ingin menasihati pengguna dan orang ramai untuk menggunakan hak dan kuasa pembeli dalam memastikan produk makanan yang dibeli bersih dan selamat,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

“Pengguna juga boleh melayari laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di www.facebook.com/bkkmhg jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *