Ketua Menteri DAP Anggap Adun Penanti Kuat Menipu

18/05/2017 – Dek kerana isu peruntukan disekat, puak pembangkang kini sedang bertegang urat mempertahankan tindakan masing-masing. Ini boleh dilihat ‘perang mulut’ diantara ADUN Penanti, Dr Norlela Ariffin dan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Baru-baru ini, Norlela mengadu mengenai peruntukkan di kawasannya disekat hanya kerana tidak dapat menghadirkan diri pada istiadat mengangkat sumpah pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Norlela mendakwa beliau tidak menerima undangan rasmi dari pejabat setiausaha kerajaan negeri ke majlis angkat sumpah 29 April lepas, dan menyangka majlis itu untuk exco dan orang penting yang ada jawatan.

“Saya ikut arahan pimpinan untuk kekal di Konvensyen PKR Pulau Pinang dan hanya Exco, Timbalan Ketua Menteri 1 dan Presiden PKR yang pergi ke majlis rasmi berkenaan.

“Sebab pimpinan-pimpinan PKR seperti Naib Presiden, Nurul Izzah, Rafizi dan naib-naib presiden akan berucap selepas perasmian dan kami wakil rakyat biasa yang tak ada jawatan diminta kekal sebagai hos supaya masih ada Adun PKR Pulau Pinang yang berada di konvensyen berkenaan,” tulis Norlela dalam laman sosial Facebooknya.

Menganggap ADUN Penanti itu menipu, Ketua Menteri negeri itu sendiri tampil bersuara mengulas isu tersebut. Lim Guan Eng membidas Norlela yang mendakwa tidak diundang ke majlis angkat sumpah gabenor hujung bulan lepas.

Setiausaha Agung parti rasis dan cauvinis itu menganggap dakwaan ADUN Penanti itu tidak betul dan memburuk-burukkan nama Setiausaha Kerajaan, Datuk Seri Farisan Darus.

“Jangan heret setiausaha kerajaan ke dalam hal ini. Setiausaha saya sangat profesional dan antara yang terbaik di negara ini.

“Beliau (Farizan) sudah menghantar jemputan itu. Jangan pertikaikan profesionalisme beliau. Saya sangat kecewa kerana dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Jangan burukkan setiausaha kerajaan; beliau melakukan kerja secara professional. Kami ada semua bukti menunjukkan dia terima jemputan itu,” kata Guan Eng.

Mengulas kenyataan Guan Eng, Norlela bagaimanapun membidas kembali dan menegaskan bahawa beliau tidak menerima sebarang surat undangan.

“Mengapa pula saya nak tipu? Saya nak tahu adakah ia dihantar dengan tangan, surat atau apa?” kata ADUN Penanti itu.

Guan Eng membekukan peruntukan suku tahunan khas berjumlah RM50,000 kepada Adun yang tidak menghadiri majlis angkat sumpah itu.

Katanya, peruntukan lain tidak dibekukan, tetapi mereka yang terkesan perlu memberikan penjelasan bertulis menjelaskan ketidakhadiran mereka. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *